Saksi akui cek RM2 juta untuk amal dan politik: Peguam

Ahmad Zahid menghadapi 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Ahmad Zahid menghadapi 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Pasukan pembelaan memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa bahawa pertuduhan yang dibuat terhadap Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi adalah tidak kukuh.

Ia berikutan saksi mengaku bahawa tiga cek berjumlah RM2 juta yang diberikan kepada Tetuan Lewis & Co adalah untuk amal jariah dan sumbangan politik.

Peguam, Hisyam Teh Poh Teik berkata demikian ketika hujahan di akhir kes pendakwaan bagi kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram bernilai puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi membabitkan Ahmad Zahid di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Hisyam yang mewakili Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, jawapan bagi soalan adakah jumlah RM2 juta itu ganjaran serta terdapat pertalian antara ganjaran dan lantikan itu boleh diketahui menerusi kenyataan daripada saksi pendakwa sebelum ini.

Menurutnya, saksi ke-38 iaitu Pengarah Profound Radiance Sdn Bhd (PRSB), Azlan Shah Jaffril, 50, sebelum ini berkata, sumbangan tiga cek yang dibayar kepada Lewis & Co dicatatkan sebagai ‘charity’ (amal) dan ‘political donation for TPM’ (sumbangan politik untuk Timbalan Perdana Menteri).

Beliau berkata, bagi cek RM300,000 dan RM700,000 yang perlu dibayar kepada Lewis & Co ditulis sebagai 'amal', manakala satu lagi cek jumlah RM1 juta untuk pihak sama ditulis sebagai 'sumbangan politik'.

“Azlan Shah dalam keterangannya tidak pernah mengatakan atau memberi petunjuk bahawa pembayaran ini adalah penghargaan yang diberikan kepada Ahmad Zahid kerana melantik PRSB sebagai perkhidmatan ‘One Stop Centre’ (OSC) untuk Pakistan dan Nepal.

“Malah, dia dengan tegas menafikan bahawa cek-cek itu sebagai ganjaran sebagaimana yang dipertuduhkan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Hisyam berkata, saksi itu mengakui bahawa cek-cek bertarikh 31 Julai 2017, 3 Januari 2018 dan 29 Februari 2019 itu diberi sebagaimana yang ditulis.

Beliau berkata, Azlan Shah juga menyatakan bahawa tiada siapa yang mengarahkannya untuk menulis 'amal' dan 'sumbangan politik' pada cek terbabit.

Katanya, ia dikukuhkan lagi dengan pengakuan Azlan Shah bahawa sumbangan itu bukan untuk tujuan rasuah atau ganjaran di atas lantikan PRSB sebagai sebagai perkhidmatan OSC.

“Jadi, tiga pertuduhan iaitu ke-16, 17 dan 18 adalah tidak kukuh untuk dipertuduhkan terhadap Ahmad Zahid,” katanya.

Ahmad Zahid, 69, berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan kes pecah amanah, lapan kes rasuah dan 27 kes pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Mengikut pertuduhan ke-16 hingga 18, Ahmad Zahid didakwa menerima rasuah daripada Azlan Shah sebanyak RM 300,000; serta RM1 juta dan RM 700,000 milik Syarikat Profound Radiance Sdn Bhd melalui Tetuan Lewis & Co.

Ia sebagai hadiah untuk Ahmad Zahid sebagai penjawat awam iaitu Menteri Dalam Negeri di Kementerian Dalam Negeri.

Ahmad Zahid didakwa melakukan transaksi dengan melantik Syarikat Profound Radiance Sdn Bhd sebagai penyedia Perkhidmatan Pusat Sehenti (OSC) untuk Pakistan dan Nepal di Kementerian Dalam Negeri.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta yang sama.

Kesalahan dilakukan di Malayan Banking Berhad cawangan Dataran Maybank di sini pada 3 Ogos 2017.

Prosiding bersambung pada Rabu.