X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 23 Oktober 2021

KXP pelengkap LTAPP, bukan saingan

Muhammad Sanusi
A
A

ALOR SETAR - Cadangan projek pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) di Sidam Kiri, Kuala Muda bukan saingan sebaliknya sebagai pelengkap infrastruktur sedia ada, kata Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor.

Peringatan itu dibangkitkan setelah berkali-kali cadangan projek pembinaan dibantah negeri jiran itu menerusi Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) selaku syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Saya ingin tegaskan Pulau Pinang adalah tanah Kedah yang dipajak, negeri itu bukan wujud dengan sendirinya, ia ada dalam sejarah yang menyebut Pulau Pinang adalah sebuah negeri yang tanahnya dipajak dari Kedah, ini perlu diingat, jangan pajak tanah orang dan marah pula pemilik tanah,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Mohd Azam Abd Samat (Pas-Sungai Limau) berhubung tekanan dari negara jiran dan musuh politik dalam pelaksanaan projek berimpak tinggi pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada Selasa.

Muhammad Sanusi berkata, Pulau Pinang sering menyuarakan bantahan pembinaan KXP melalui PBAPP yang mempertikaikan cadangan projek berkenaan.

“Ini strategi politik, kalau pemimpin politik yang bercakap, mereka bimbang ia dikatakan persepsi politik jadi mereka gunakan GLC (PBAPP) sebagai jurucakap,” katanya lagi.

Menurut beliau, pihaknya memahami kebimbangan Pulau Pinang itu, namun Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) sudah tidak boleh diperbesarkan lagi kerana faktor kekurangan tanah selain perlu menambak laut, oleh itu peranan itu akan diambil oleh KXP.

“KXP akan menjadi pelengkap kepada LTAPP di Bayan Lepas, bukannya pesaing. Saya bagi jaminan kedua-dua lapangan terbang terbabit akan melengkapi antara satu sama lain termasuk dalam melengkapkan infrastruktur sedia ada,” katanya.

Muhammad Sanusi berkata, pakar penerbangan sebelum ini turut mengesahkan kadar maksimum penumpang yang mampu dikendalikan LTAPP adalah berkapasiti 12 juta pengguna, namun unjuran kajian menyatakan pada 2028, bilangan pengguna lapangan terbang akan meningkat kepada 20 juta setahun.

“Untuk itu, KXP akan jadi pelengkap kepada peningkatan penumpang ini. Kalau kita ada jiran yang hari-hari bising pada kita, buat tuduhan dan andaian pelik-pelik, tentu kita ada hak pertahankan diri dan beri komen balas.

''Sebagai jiran yang baik, kita akan pastikan Pulau Pinang sentiasa aman,” ujar beliau.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!