Khairy beri jaminan cari titik penyelesaian isu doktor kontrak

Khairy Jamaluddin - Foto Bernama
Khairy Jamaluddin - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar memberi jaminan akan mencari titik penyelesaian interim yang lebih baik berhubung isu serta permasalahan yang dihadapi pegawai kesihatan lantikan kontrak.

Khairy menyatakan komitmen itu menerusi perbincangannya bersama Sekretariat Gerakan Hartal Doktor Kontrak yang diadakan secara maya tengah hari pada Selasa.

“Beberapa perkara telah dibangkitkan termasuklah kaedah penilaian prestasi bagi perjawatan tetap, peluang lanjutan pengajian dan masa hadapan profesion mereka,” katanya menerusi catatan di laman Facebook pada Selasa.

Awal Julai lepas, sekumpulan doktor kontrak di Kementerian Kesihatan (KKM) melancarkan pergerakan #HartalDoktorKontrak, bagi menyuarakan rasa tidak puas hati berhubung jawatan tetap dalam sektor kerajaan bagi kira-kira 23,000 pegawai kesihatan kontrak di seluruh negara.

Susulan itu kerajaan mengumumkan pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi lantikan kontrak ditawarkan pelantikan secara kontrak untuk tempoh dua tahun, selepas melengkapkan tempoh khidmat wajib bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan dan persediaan untuk mengikuti pengajian kepakaran. - Bernama

Artikel Berkaitan: