X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 28 Oktober 2021

Solskjaer harap United teruskan momentum kemenangan

Sebahagian pemain United meraikan jaringan pemain gantian, Jesse Lingard pada aksi EPL berdepan West Ham pada Ahad.
A
A

PENGENDALI Manchester United Ole Gunnar Solskjaer berharap momentum kemenangan skuad The Red Devils itu bakal berterusan apabila melayan kunjungan West Ham United bagi aksi Piala Liga Inggeris di Old Trafford, pada awal pagi Khamis.

Menurut Solskjaer, kemenangan 2-1 ke atas skuad The Hammers pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Ahad, diharap dapat menyuntik semangat skuad kendaliannya itu untuk sekali lagi melakar kemenangan.

Malah Solskjaer turut berharap agar penjaring gol kemenangan United pada Ahad, Jesse Lingard dapat terus beraksi cemerlang bagi merobek gawang pelawat kali ini.

“Kalaulah ada yang bertanya kepada saya, pemain mana yang memberikan aksi terbaik pada perlawanan berkenaan, sudah pasti saya akan menuding jari kepada Lingard.

“Jelas, dia benar-benar mahu merebut kembali tempatnya dalam kesebelasan utama pasukan dan dalam masa sama dia turut memberikan sumbangan bermakna dengan menjaringkan gol kemenangan,” katanya.

Untuk rekod, aksi EPL Ahad lalu menyaksikan Lingard meledak gol kemenangan United pada minit ke-89 setelah Cristiano Ronaldo menjaringkan gol penyamaan pada minit-35 bagi memadam kelebihan gol pembukaan pemain The Hammers, Said Benrahma pada minit ke-30.

Sementara itu Solskjaer tidak menolak kemungkinan untuk menurunkan Lingard dalam kesebelasan utama setelah pemain berkenaan hanya beraksi selaku pemain gantian, Ahad lalu.

Katanya, biarpun Lingard dilihat mempamerkan aksi kurang memuaskan ketika United tewas 1-2 kepada kelab Switzerland Young Boys pada aksi Liga Juara-Juara pada 15 September, pemain berkenaan dilihat semakin bersemangat bagi membantu pasukan.

“Bagi saya, dia (Lingard), mungkin akan bermula sebagai kesebelasan utama setelah hanya tampil selaku pemain gantian Ahad lalu.

“Lagi pun, kita juga mahu melakukan beberapa pertukaran pemain,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!