Kes Peter Anthony: Pendakwaan tutup kes, hujahan 29 Oktober

Datuk Peter Anthony
Datuk Peter Anthony
A
A
A

KUALA LUMPUR - Selepas 15 saksi dipanggil memberi keterangan, pihak pendakwaan pada Selasa menutup kes bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony yang menghadapi pertuduhan menggunakan dokumen palsu.

Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin memberitahu, Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi demikian selepas saksi pendakwaan kelapan, bekas Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UMS, Profesor Dr Shariff Abd Kadir Shariff Omang, yang dipanggil semula untuk pemeriksaan balas oleh pihak pembelaan, selesai memberi keterangan.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada puan hakim kerana mendengar kes ini,” kata Wan Shaharuddin.

Azura kemudian memerintahkan pihak pendakwaan memfailkan hujahan bertulis pada atau sebelum 8 Oktober, manakala 18 Oktober hujahan balasan bagi pihak pembelaan.

Mahkamah menetapkan 29 Oktober ini untuk kedua-dua pihak berhujah secara lisan, sebelum memutuskan sama ada Peter dibebaskan daripada pertuduhan itu atau diperintahkan untuk membela diri.

Wan Shaharuddin turut memaklumkan kepada mahkamah, bahawa pihak pendakwaan telah menawarkan seorang saksi kepada pihak pembelaan iaitu Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Wilayah Persekutuan Labuan, Mohd Yusizzudin Mohd Yusuf.

Pada perbicaraan kes itu yang bermula April tahun ini, pihak pendakwaan telah memanggil 15 saksi untuk memberi keterangan termasuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah dan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi.

Pada prosiding hari ini, Peter diwakili peguam Datuk D Senthinathan.

Artikel Berkaitan:

Peter, 50, didakwa melakukan sesuatu pemalsuan kepada surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014 dengan memasukkan pernyataan palsu pada tajuk surat itu dengan niat ia digunakan untuk tujuan menipu di pejabat Ketua Setiausaha Sulit kepada YAB Perdana Menteri, tingkat lima, bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya di antara 13 Jun dan 21 Ogos 2014.

Dia juga berdepan pertuduhan pilihan menggunakan dokumen palsu sebagai tulen iaitu surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014 yang mempunyai pernyataan palsu pada tajuk surat itu dan beliau mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen tersebut adalah palsu di tempat dan masa yang sama.

Peter didakwa mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda serta Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. - Bernama