Malaysia capai 80 peratus penduduk dewasa lengkap divaksin

Ismail Sabri - FotoBernama
Ismail Sabri - FotoBernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Selepas hampir lapan bulan pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Malaysia mencatat sejarah apabila mencapai imuniti kelompok dengan 80 peratus penduduk dewasa lengkap divaksin.

Perkara itu dikongsikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi ciapannya di Twitter.

"Tahniah! Malaysia mencapai 80 populasi populasi dewasa negara telah lengkap divaksinasi," katanya pada Selasa.

Sebelum ini, negara dijangka mencapai imuniti kelompok pada akhir tahun ini, namun usaha dan gerak kerja yang dilakukan kerajaan dengan kerjasama pelbagai pihak berjaya 'menuai hasil' lebih awal.

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKVAV), sehingga jam 11.59 malam Isnin, 79.6 peratus populasi dewasa telah lengkap dos vaksinasi Covid-19.

Sementara itu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, walaupun sasaran awal 80 peratus populasi dewasa telah dicapai, JKJAV akan terus berusaha menjejaki 20 peratus lagi yang belum dan enggan divaksinasi.

"Pada jam 1300hrs hari ini (Selasa) Malaysia telah mencapai sasaran 80 peratus penduduk dewasa lengkap divaksinasi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Kerajaan kini sedang mempergiat vaksinasi terhadap remaja berusia 12 hingga 17 tahun di seluruh negara bermula Isnin lalu dengan menyasarkan 3.2 juta golongan remaja memberi suntikan vaksin.

Langkah itu sebagai persediaan pembukaan sekolah bagi memastikan risiko jangkitan di sekolah dapat dikurangkan sekaligus mencegah kejadian kluster dan kes dalam kalangan warga sekolah.