Kekejaman kanak-kanak, sampai bila?

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ada yang dilaporkan hilang, ada yang diculik dan ada yang dijumpai mati dalam keadaan yang amat menyedihkan!

Melihat siri kejadian yang berlaku, boleh disimpulkan kanak-kanak malang ini melalui fasa yang amat kejam, menderita didera secara fiizikal dan seksual sebelum dibunuh.

Masih segar diingatan ‘saat akhir’ adik Nurin Jazlin yang mesra dengan panggilan ‘Kak Ngah’ didakap bapanya sebelum jenazahnya disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Ibukota, Gombak, Selangor.

Benar-benar sayu, pilu dan meruntun jiwa!

Bagaikan tiada kesudahan, baru-baru ini negara sekali lagi digemparkan dengan kes serupa.

Siti Masitah Ibrahim, 11, ditemui dalam keadaan penuh tragis dengan kepala terpisah serta beberapa organ dalaman hilang di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Tanjung Medang Hilir, Pekan, pada 9 Feb lepas.

Polis mengesahkan mangsa dibunuh dengan kejam pada hari yang sama dilaporkan hilang pada 30 Jan lepas oleh seorang lelaki yang merupakan kenalan rapat keluarganya kerana motif dendam dan marah.

Bedah siasat yang dilakukan mendapati kanak-kanak malang itu meninggal dunia akibat 'kemungkinan kecederaan di kepala' dan terdapat kesan kecederaan pada rahang kiri, bahagian atas tengkorak sebelah dipercayai akibat dipukul dengan kayu.

Artikel Berkaitan:

Potensi jenayah

Mengapa ada manusia dewasa serta normal tergamak bertindak sedemikian kepada anak kecil yang sepatutnya disayangi dan dilindungi? Malah yang lebih dikesalkan ‘harapkan pegar, pegar makan padi’, si pelaku adalah orang yang dikenali mangsa!

Peguambela & Peguamcara (Litigasi Sivil & Jenayah) Tetuan Farhan Maaruf & Co, Muhammad Hafiz Hood berkata orang terdekat termasuk saudara mara dan rakan-rakan malah ‘darah daging sendiri’ turut berpotensi melakukan jenayah.

“Kronologi kes adik Siti Masitah ini jika ditelusuri hampir sama dengan apa yang berlaku pada arwah adik Nurul Nadirah Abdullah atau Dirang (dibunuh dan dibakar). Fakta awal mengikut pengakuan suspek menyatakan jenayah dilakukan atas faktor dendam kepada keluarga mangsa namun memandangkan kes ini belum ke peringkat perbicaraan, maka kesahihan fakta itu masih boleh dipersoalkan.

“Kebarangkalian untuk insan terdekat menjadi pemangsa adalah tinggi dalam mana-mana kes jenayah seksual dan jenayah kekerasan. Inilah hakikat yang perit untuk diterima. Sebagai ibu bapa atau ahli keluarga, jangan sesekali ambil ringan sekiranya anak-anak mengadu sesuatu yang luar biasa terjadi pada mereka.

“Sentiasa berwaspada dan jangan meletakkan seratus peratus kepercayaan kepada sesiapa sahaja kerana jenayah boleh berlaku pada masa dan keadaan yang paling kita tidak jangka,” katanya kepada Bernama dalam wawancara ekslusif baru-baru ini.

Tiga faktor utama

Berpengalaman selama enam tahun mengendalikan kes litigasi sivil dan jenayah termasuk di Mahkamah Kanak-Kanak (Mahkamah Juvenil) Muhammad Hafiz berkata sumbang mahram, cabul dan rogol antara jenayah popular yang melibatkan insan terdekat sebagai pemangsa.

“Kebanyakan kes sumbang mahram yang melibatkan cabul yang dibicara di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan rogol di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan turut melibatkan orang yang dikenali atau insan terdekat termasuklah bapa kandung mangsa sendiri.

“Statistik yang dikeluarkan Jabatan Siasatan Jenayah Selangor pada November 2018 menyatakan sebanyak 75.5 peratus kes jenayah seksual kanak-kanak yang berlaku di negeri itu dilakukan individu yang dikenali mangsa termasuklah mereka yang mempunyai pertalian darah serta saudara tiri, suami pengasuh, jiran dan teman lelaki,” katanya.

Terdapat tiga faktor penyumbang terhadap berlakunya perkara itu, pemangsa, kelemahan mangsa sendiri dan keadaan sekeliling.

Selain berkait rapat antara satu sama lain, ketiga-tiga faktor itu juga katanya sukar untuk dikawal.

“Contoh yang selalu menjadi sandaran fakta kes di mahkamah apabila melibatkan pesalah jenayah seksual atau jenayah kekerasan terhadap wanita dan kanak-kanak, kebanyakan pemangsa sememangnya mempunyai rekod jenayah lampau, berada dalam pengaruh dadah atau menyimpan dendam kepada mangsa.

“Apabila mangsa berada dalam keadaan lemah, tidak dikawal dan mudah untuk dijadikan sasaran penyerang maka kebarangkalian jenayah pembunuhan kejam ini menjadi lebih tinggi kerana ruang terbuka luas untuk pemangsa melampiaskan nafsu dan amarah mereka.

“Atas sebab itu juga faktor keadaan sekeliling tidak boleh diabaikan. Dalam beberapa siri pembunuhan kanak-kanak kalau dilihat ‘pattern’ atau persamaan fakta (similar fact evidence) adalah sangat jelas – mangsa berseorangan, tanpa pengawasan, tidak jauh dari rumah dan kadang kala mereka mengenali pemangsa sendiri,” jelas beliau.

Hukuman mati mandatori

Masyarakat geram, marah dan kecewa serta mahu tindakan undang-undang serta hukuman berat dikenakan kepada si pelaku.

Perbuatan tidak berperikemanusiaan itu wajib ‘dibayar dengan harga setimpal’, kerana bukan sahaja mengakibatkan ibu bapa kehilangan anak bahkan membawa kepada gangguan emosi berpanjangan serta mencalar maruah individu.

Bagaimanapun, peruntukan undang-undang adakalanya dilihat kurang berkesan bahkan atas faktor tertentu kes yang berlaku bertahun lamanya masih ‘tergantung’ selain terdapat suspek yang ‘terselamat’ daripada hukuman.

Adakah Malaysia memerlukan undang-undang baharu yang lebih tegas dan berkesan dalam menangani perkara ini?

Menjawab persoalan itu, Muhammad Hafiz berkata akta dan undang-undang pada dasarnya telah dirangka sehabis baik bagi menangani masalah berkaitan termasuklah jenayah penderaan fizikal dan seksual kanak-kanak.

“Kita tidak memerlukan akta baharu untuk menangani jenayah ke atas kanak-kanak. Akta Kanak-Kanak 2001, Kanun Keseksaan dan Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) adalah usaha kerajaan dalam menangani penderaan seksual dan fizikal ke atas golongan itu. Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak di Putrajaya juga telah bersidang dan banyak kes telah diselesaikan.

“Akta-akta yang ada masih relevan cuma dalam perspektif yang lebih luas, hukuman yang diperuntukkan belum cukup tegas. Hukuman sedia ada ke atas pelaku kesalahan jenayah penderaan fizikal dan seksual kanak-kanak secara naratifnya masih berada di bawah ruang lingkup teori hukuman yang sama dengan pesalah-pesalah yang lain,” katanya.

Teori klasik hukuman merangkumi pembalasan, pencegahan, penghalangan, pemulihan dan inkapasitasi. Kepentingan pesalah dan masyarakat secara amnya merupakan dua aspek asas yang diambil kira untuk dijadikan pertimbangan bagi setiap hukuman.

“Sudah tiba masanya Parlimen membincang dan mengusulkan agar pesalah jenayah seksual kanak-kanak dikenakan hukuman mati mandatori tertakluk kepada penggubalan dan pelaksanaan yang menyeluruh. Ketika ini, hukuman yang dikenakan kepada pesalah masih terhad kepada pemenjaraan dan sebatan.

“Sejauh mana hukuman penjara dan sebatan memadai untuk mendidik masyarakat dan penjenayah khususnya bagi memastikan kejadian sama tidak berulang? Kes makin meningkat dari tahun ke tahun dan peringkat kekejaman juga semakin menakutkan. Justeru, Parlimen perlu membuka ruang dan peluang untuk membincangkan perkara ini (hukuman mati mandatori).

“Dengan lambakan kes jenayah dan tahap kekejaman yang tidak masuk akal, bukanlah sesuatu yang munasabah bagi cadangan memansuhkan hukuman mati mandatori sebaliknya hukuman itu perlu diusulkan kepada pesalah jenayah seksual dan fizikal kanak-kanak,” tegasnya.

Peranan masyarakat

Masyarakat perlu ‘ambil pusing’ dengan keadaan sekeliling terutama perkara yang melibatkan kanak-kanak kerana tiada persekitaran yang 100 peratus selamat selain jenayah boleh berlaku pada bila-bila masa.

“Sejauh mana kita mempunyai kudrat untuk mengawal persekitaran dan mengelakkan jenayah ini daripada berlaku? Disebabkan itu sifat ‘kera sumbang’ tidak boleh diterima dalam kehidupan masyarakat milenial era ini kerana kita mempunyai lambakan platform untuk menyalurkan keprihatinan dan kegusaran sekiranya berlaku perkara yang mencurigakan. Internet di hujung jari dan media sosial adalah senjata yang boleh digunakan untuk mewujudkan masyarakat yang peduli.

“Sikap ‘jaga tepi kain orang’ itu kadangkala perlu untuk memastikan persekitaran kita selamat. Apa gunanya perkhidmatan sistem amaran awal kehilangan kanak-kanak (NUR Alert) sekiranya tiada masyarakat yang menghubungi apabila mendapati sesuatu yang di luar norma berlaku? “ tambahnya.

Menurut Muhammad Hafiz, kes-kes yang dibicarakan di mahkamah membuktikan dalam banyak kejadian, pemangsa menggunakan kesempatan melakukan jenayah apabila keadaan sekeliling memberi peluang kepada mereka contohnya apabila berduaan dengan kanak-kanak (mangsa) ditambah sikap tidak peduli dan prihatin masyarakat.

Mengulas cadangan beberapa pihak yang mahu peguam khas untuk kanak-kanak diwujudkan beliau berpendapat, tiada keperluan untuk perkara itu kerana kebajikan kanak-kanak yang menjadi mangsa sememangnya terbela di bawah Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang sedia ada.

“Namun, keperluan mungkin wujud untuk memperluas dan menambahbaik peranan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Pelindung di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 dalam menjaga kebajikan kanak-kanak terlibat. Lebih baik jika Pelindung, guru, kaunselor dan agensi berkaitan berganding bahu bagi memastikan kepentingan dan kebajikan golongan itu terpelihara serta suara kecil mereka didengari,” katanya.

Kes bunuh kanak-kanak

Adik Nurul Huda Abdul Ghani, Nurin Jazlin Jazimin, Nurul Nadirah Abdullah atau Dirang dan Noor Amila Edrus Norsham.

Itu antara nama-nama yang membuatkan hati ribuan rakyat Malaysia merintih, kecewa malah ramai yang mengalirkan air mata mengenangkan tragedi malang yang menimpa anak-anak syurga ini.

Mereka yang pada awalnya dilaporkan hilang, rupanya dibunuh kejam dan dijumpai dalam keadaan yang cukup tragis dan sukar diterima akal.

Pada 17 Jan 2004, adik Nurul Huda, 10, dijumpai mati di dalam tandas pondok pengawal keselamatan Tenaga Nasional Berhad Kampung Pekajang, Tanjung Kupang, Johor Bahru, dalam keadaan bogel. Mangsa diliwat dan dirogol sebelum dibunuh oleh seorang bekas pengawal keselamatan.

Adik Nurin Jazlin, berusia 8 tahun pada masa dia hilang pada 20 Ogos 2007 selepas keluar bersendirian ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Hancur lebur harapan ibu bapa kanak-kanak malang itu serta seluruh rakyat Malaysia apabila mayat mangsa yang ditemui dalam sebuah beg sukan di Petaling Jaya selepas 27 hari kehilangannya, disahkan menjadi korban pembunuhan kejam serta mangsa penderaan seksual.

Lebih menjadi igauan ngeri sehingga menarik perhatian media asing, bedah siasat ke atas mayat mendapati pembunuh telah memasukkan timun dan terung ke dalam kemaluan mangsa menyebabkan rektum mangsa pecah hingga dijangkiti bakteria, antara faktor yang menyumbang kepada kematian yang menyayatkan hati.

Fizikal kanak-kanak itu juga ‘kurus kering’ selain banyak kesan lebam pada badan menyebabkan ibu bapanya tidak mengenali mangsa semasa membuat pengecaman kali pertama.

Angkara dendam, adik Dirang, 5, yang dilaporkan hilang pada 1 Mac 2012 ketika keluar membeli mi segera dan telur di kedai runcit berhampiran rumahnya di Flat Seri Delima, Bandar Seri Alam, Johor Bahru, disahkan meninggal dunia akibat dibunuh dan dibakar pada 12 Mac 2012.

Misteri kehilangannya terjawab apabila laporan Jabatan Kimia mengesahkan ujian Asid Deoksiribonukleik ke atas mayat rentung yang dijumpai di sebuah lubang di tapak perumahan terbengkalai di Nusa Damai, Masai, adalah milik mangsa.

Mayat adik Noor Amila Edrus, 5, yang hilang pada 11 Ogos 2016 di Jinjang Utara, ditemui dalam keadaan kepala terpisah daripada badan di kawasan semak di Kampung Kemensah, Hulu Kelang. Rentetan kejadian itu, seorang anggota keluarga mangsa dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas dakwaan membunuh.