Hampir 98 peratus atlet di Kelantan sudah divaksin

Wan Roslan Wan Hamat
Wan Roslan Wan Hamat
A
A
A

KOTA BHARU – Hampir 98 peratus atlet negeri ini sudah mendapat suntikan vaksin Covid-19 masing-masing, terutama mereka yang terlibat dengan Sukan Malaysia (Sukma) dan Para Sukma.

Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Roslan Wan Hamat berkata, vaksinasi melibatkan atlet amat penting untuk memastikan mereka dapat mengekalkan antibodi badan yang diperlukan bagi mengekalkan prestasi persembahan mereka.

“Kebanyakan atlet berusia 18 tahun dan ke atas sudah mengambil vaksin masing-masing. Ada yang melalui janji temu MySejahtera dan ada juga secara 'walk-in'. Namun masih ada yang belum divaksin tapi jumlahnya sedikit.

“Atlet yang masih belum divaksin itu melibatkan mereka yang mempunyai kekangan dan pelbagai masalah lain,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Selasa.

Beliau berkata, kerajaan negeri kini sedang mengaturkan jadual sesuai untuk vaksinasi atlet di bawah usia 17 tahun memandangkan vaksinasi untuk remaja kategori umur berkenaan sudah bermula sejak Selasa.

Malah, katanya, kerajaan negeri tidak menolak kemungkinan untuk melaksanakan vaksinasi kepada atlet berusia 17 tahun melalui 'out reach' bagi memastikan mereka yang berdepan kekangan tetap boleh mendapatkan vaksinasi mengikut jadual.

“Selain itu, tidak lupa juga kepada bekas-bekas atlet. Kerajaan negeri dan Jabatan Belia dan Sukan negeri sentiasa bertanya khabar mereka.

"Kita pun baru sahaja menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada bekas-bekas atlet ini melalui beberapa kunjungan yang diadakan bersama Majlis Sukan Negeri (MSN).

Artikel Berkaitan:

“Insya-ALLAH, kita akan mengadakan pertemuan dari semasa ke semasa bagi menjaga kebajikan mereka semampu mungkin. Apa yang penting, mereka juga kena mengambil vaksin walaupun tidak lagi aktif dalam sukan,” ujarnya.