Shah Firdaus sertai Kejohanan Dunia

Muhammad Shah Firdaus menerima insentif disampaikan Hasni di Kota Iskandar pada Selasa.
Muhammad Shah Firdaus menerima insentif disampaikan Hasni di Kota Iskandar pada Selasa.
A
A
A

PELUMBA berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom tidak sabar mempamerkan aksi terbaik dalam Kejohanan Berbasikal Trek Dunia di Perancis, bulan depan.

Anak kelahiran Muar itu berkata keadaan dirinya sudah pulih sepenuhnya selepas mengalami kecederaan dalam kemalangan di pertengahan perlumbaan saringan kedua acara keirin Sukan Olimpik 2020 di Velodrom Izu, Tokyo pada 8 Ogos lalu.

Dalam kemalangan itu, Muhammad Shah Firdaus dihimpit pelumba Britain, Jack Carlin dan insiden berkenaan turut membabitkan pelumba Kazakhstan, Sergey Ponomaryov menyebabkan kecederaan di bahu kirinya.

"Saya perlu masa sebulan untuk pulih akibat hentakan yang dialami di Olimpik Tokyo. Sebelum ini, hendak bernafas pun saya rasa rasa sakit dan batuk namun kini keadaannya sudah baik.

"Alhamdulillah, keadaan saya kini sudah 100 peratus pulih dan bersedia untuk berlumba.Memandangkan kejohanan di Perancis merupakan penutup tahun ini, saya memilih untuk menyertainya.

"Saya akan berlepas ke Perancis pada 10 Oktober bersama rakan sepasukan Muhammad Fadhil Mohd Zonis. Saya akan melakukan yang terbaik dan mengharapkan sokongan rakyat Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima insentif sebanyak RM5,000 daripada Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad pada sesi penyerahan insentif atlet dan jurulatih ke sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020 di Kota Iskandar di sini pada Selasa.

Sebelum ini, Muhammad Shah Firdaus dilaporkan masih mempertimbangkan untuk beraksi dalam Kejohanan Dunia, pada bulan depan kerana mahu fokus terhadap keluarga selepas berpisah sejak dua tahun lalu.

Artikel Berkaitan: