Tidak cukup korum, sidang petang lewat 7 minit

Sidang Dewan Rakyat bagi sesi petang pada Selasa dimulakan lewat tujuh minit kerana jumlah ahli Parlimen yang hadir tidak mencukupi korum yang ditetapkan.
Sidang Dewan Rakyat bagi sesi petang pada Selasa dimulakan lewat tujuh minit kerana jumlah ahli Parlimen yang hadir tidak mencukupi korum yang ditetapkan.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Sidang Dewan Rakyat bagi sesi petang pada Selasa dimulakan lewat tujuh minit kerana jumlah ahli Parlimen (MP) yang hadir tidak mencukupi korum yang ditetapkan.

Usul tidak cukup korum itu dibangkitkan oleh Cha Kee Chin (PH-Rasah) ketika Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Rashid Hasnon mahu memulakan sesi perbahasan titah diraja.

“Ikut pengamatan saya, tidak cukup 26 (ahli Parlimen) sekarang ini, minta setiausaha tolong semak terutamanya bahagian menteri dan timbalan menteri,” katanya.

Hasil kiraan mendapati hanya 19 ahli Parlimen yang berada dalam Dewan Rakyat.

Keadaan itu memaksa Rashid mengarahkan bentara supaya membunyikan loceng sekali lagi bagi memberi peringatan kepada ahli-ahli Parlimen supaya memasuki dewan untuk menghadiri persidangan.

Pada masa sama, beberapa suara ahli Parlimen turut mencelah.

“Patutlah tidak mahu buka Parlimen.''

“Pembangkang selamatkan kerajaan...pembangkang lebih ramai.”

Artikel Berkaitan:

Selepas loceng dibunyikan, lapan lagi ahli Parlimen menyertai sesi tersebut menjadikan jumlahnya 27 ahli Parlimen dan sidang bermula seperti biasa.

Mengikut Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat Bilangan 13 (1), cukup bilang bagi (korum) Majlis Mesyuarat dan Jawatankuasa sebuah Majlis Mesyuarat hendaklah mengandungi 26 ahli Parlimen tidak termasuk pengerusi.