X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 28 Oktober 2021

PDRM digesa ketuai siasatan kes babitkan tiga pegawai SPRM

Fahmi Fadzil
A
A

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) digesa agar mengetuai siasatan kes tiga pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang didakwa terlibat salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan kes membabitkan seorang bekas ketua jabatan.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil berkata, kes berkenaan bukan hanya sekadar membabitkan salah guna kuasa, tetapi adalah kes jenayah berat.

“Kalau kita lihat telah berlaku perlanggaran berdasarkan kanun keseksaan termasuk Seksyen 204, iaitu membinasakan surat/bukti bagi mengelakkannya daripada dikemukakan sebagai keterangan.

“Serta dalam Seksyen 489 A melibatkan pemalsuan mata wang kertas, 489 B menggunakan mata wang kertas palsu dan juga 489C memiliki mata wang kertas palsu; termasuk Seksyen 379 Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan mencuri.

“Maka, sekurang-kurangnya lima kesalahan berlaku yang seharusnya disiasat PDRM bukan SPRM. Tapi kalau kita lihat kenyataan daripada Jabatan Siasatan Jenayah belum ada laporan polis dibuat setakat ini.

“Jadi saya berharap pihak polis tidak perlu menunggu laporan dibuat tetapi buat laporan sendiri dan mulakan siasatan kerana kita risau apa yang berlaku ini adalah siri pengkhianatan amanah,” katanya pada sidang media di Bilik Media Parlimen pada Selasa.

Pada Isnin, SPRM mengesahkan tiga pegawainya ditahan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan kes membabitkan seorang bekas ketua jabatan.

Dalam satu kenyataan, SPRM memaklumkan, ketiga-tiga pegawai sudah dihadapkan ke Mahkamah Majistret untuk permohonan reman selama enam hari bermula 14 September lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: SPRM sahkan penahanan tiga pegawai

PDRM tidak terima laporan 3 pegawai SPRM curi barang kes AS$6 juta

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, usul supaya SPRM tidak terlibat dengan siasatan kes berkenaan telah dikemukakan untuk dibahaskan pada Rabu.

“Saya juga ada masukkan usul dan harap Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun akan benarkan untuk dibahaskan esok (Rabu).

“Paling penting waktu ini, isu integriti SPRM mungkin dipersoal. Adakah kita sudah sedia dengan keadaan rakyat akan hilang percaya terhadap SPRM? Saya rasa dalam usaha memerangi rasuah, kena pastikan integriti SPRM tidak dipersoalkan,” katanya.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR), Hassan Abdul Karim juga senada dengan perkara yang dibangkitkan.

Bahkan katanya, JKMR juga telah mengadakan perbincangan mengenai isu sama.

“Saya mengharapkan SPRM dapat jalankan fungsinya sebaik mungkin tapi dalam kes ini ada beberapa perkara yang merisaukan kami.

“Mengapa tiada laporan polis dibuat setakat ini? Dari segi undang-undang, ini satu kegagalan oleh SPRM kerana faktanya, duit yang disimpan SPRM itu merupakan bahan bukti, apabila ia dicemar, ini satu kesalahan jenayah atau salah guna kuasa? soal beliau.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!