'Peragut gigit telinga sampai koyak'

Telinga kiri Mohd Hanif yang cedera dan menerima jahitan akibat digigit peragut dalam kejadian pada awal pagi Ahad. - Foto Sinar Harian
Telinga kiri Mohd Hanif yang cedera dan menerima jahitan akibat digigit peragut dalam kejadian pada awal pagi Ahad. - Foto Sinar Harian
A
A
A

KOTA BHARU - “Saya tekup hidung dia, dia gigit telinga saya,” kata seorang lelaki menceritakan insiden bergelut dengan seorang penjenayah yang meragut beg tangan isterinya dalam kejadian di Kampung Binjai di sini pada Ahad.

Akibat gigitan tersebut, Mohd Hanif Hilmi, 29, koyak pada cuping telinga kirinya dan menerima tujuh jahitan.

Menurut Mohd Hanif, dalam kejadian kira-kira 5.45 pagi itu, penjenayah yang menaiki sebuah motosikal meragut beg tangan isterinya di tepi jalan.

Katanya, penjenayah berkenaan kemudian terjatuh dari motosikal selepas dilanggar oleh kereta yang dipandunya.

“Dia nak lari, saya terkam dia dari belakang dan menekup hidungnya. Waktu itu dia meronta untuk melepaskan diri dan bertindak menggigit telinga kiri saya sebelum datang dua orang awam membantu dan menangkap suspek,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu di Pengkalan Chepa di sini pada Selasa.

Mohd Hanif sebelum itu menerima sijil penghargaan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang disampaikan Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat atas keberaniannya itu.

Sementara itu, Shafien berkata, penahanan penjenayah tersebut menyebabkan polis berjaya menyelesaikan lima kes ragut menggunakan modus operandi dengan menyasarkan wanita bersendirian di tempat-tempat sunyi.

Artikel Berkaitan:

Shafien (kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada Mohd Hanif di IPD Kota Bharu pada Selasa. - Foto Sinar Harian
Shafien (kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada Mohd Hanif di IPD Kota Bharu pada Selasa. - Foto Sinar Harian

“Suspek juga memilih lokasi seperti hentian bas atau lokasi penumpang yang turun di tempat-tempat sunyi.

“Semakan rekod lampau mendapati suspek memiliki 14 jenayah, kebanyakannya kes rompakan, ragut dan dadah,” jelasnya.

Beliau berkata, suspek yang positif dadah jenis metamphetamine ditahan reman selama enam hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

“Polis juga mengucapkan tahniah kepada suami mangsa atas tindakan beraninya bergelut dengan penjenayah tersebut hingga berjaya ditahan.

“Saya juga mengingatkan orang ramai supaya berwaspada dan tidak berjalan sendirian serta menyorokkan beg atau barangan berharga daripada menjadi perhatian penjenayah,” katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, seorang penjenayah berusia 29 tahun patah tangan kanan dan cedera di kedua-dua lutut selepas dilanggar kereta yang dipandu suami mangsa yang kebetulan tiba di lokasi semasa kejadian.

Dalam kejadian itu, pembantu perubatan wanita berusia 29 tahun tersebut baru tiba dari Negeri Sembilan.

Wanita itu kemudian turun dari bas ekspres sebelum beg tangannya diragut ketika menunggu suaminya di tepi jalan.