Tambah baik kaunseling perkahwinan, keluarga

Idris Ahmad - Foto Bernama
Idris Ahmad - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bersama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan menambah baik khidmat kaunseling perkahwinan dan kekeluargaan kepada pasangan yang sedang menghadapi konflik.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad berkata, ia antara cadangan baharu kolaboratif antara kedua-dua pihak menerusi Projek Rintis bersama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

Selain itu, projek tersebut akan memperkasakan masjid sebagai pusat transit dan aktiviti psikososial bagi kesejahteraan wanita dan ibu tunggal.

Tambahnya, dua buah masjid di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sudah dijadikan projek rintis itu iaitu Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Masjid Al-Ghufran, Pinggiran Taman Tun Dr Ismail sebagai tempat perlindungan sementara mangsa keganasan rumahtangga.

“Alhamdulillah, pagi ini bertemu dengan Datuk Seri Rina Harun bagi membincangkan program-program kolaborasi strategik di antara Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dengan KPWKM mengenai isu-isu melibatkan institusi keluarga, remaja, ibu tunggal dan beberapa kumpulan khusus yang memerlukan perhatian sebaiknya.

“Antara program kolaborasi KPWKM dan agensi Hal Ehwal Agama yang sedang dijalankan ialah Projek Rintis bersama JAWI dengan menjadikan masjid sebagai tempat perlindungan sementara bagi mangsa keganasan rumahtangga.

“Beberapa buah masjid di Wilayah Persekutuan telah melaksanakan inisiatif yang proaktif bagi menyediakan khidmat kaunseling kepada mangsa keganasan ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.

Dalam pada itu, Idris memberitahu, mereka bersetuju supaya penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang juga penerima zakat dibantu supaya akan menjadi pembayar zakat.

Artikel Berkaitan:

“Saya sangat mengalu-alukan kerjasama agensi-agensi Islam di bawah JPM HEA dengan KPWKM untuk mengatasi isu-isu rakyat yang memerlukan perlindungan dan pembelaan dan berharap segala kerjasama yang sedia ada akan sentiasa ditambah baik,” ujarnya.