Kedah catat kutipan hasil RM558.9 juta

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Kedah mencatatkan kutipan hasil sebanyak RM558.9 juta setakat 19 September 2021 berbanding RM397 juta dalam tempoh sama tahun lepas.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, perolehan keseluruhan Kedah pada tahun lepas sebanyak RM560.6 juta dengan peratus pencapaian 79.9 peratus.

"Setakat ini, peratus perolehan Kedah adalah 77.64 peratus, iaitu hasil diperoleh RM558.9 juta melebihi hasil dicatatkan sehingga September 2020,iaitu sebanyak RM390.7 juta.

"Kita jangka mampu memperoleh hasil sekurang-kurangnya RM40 juta lagi dalam tempoh empat bulan terakhir tahun ini, sekali gus mengatasi penerimaan hasil pada tahun lalu," katanya ketika menjawab soalan lisan Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi (Alor Mengkudu-Amanah) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Selasa.

Menjawab soalan jenis hasil diperoleh kerajaan negeri, Muhammad Sanusi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri berkata, hasil cukai diperoleh daripada cukai tanah, hiburan dan royalti.

"Bagi hasil bukan cukai diperoleh daripada pembayaran lesen, bayaran urus niaga tanah, permit, bayaran perkhidmatan, perolehan jualan barang, sewaan, faedah dari pelaburan, denda dan hukuman," katanya.

Muhammad Sanusi turut memberitahu, Kedah akan melancarkan pinjaman mudah melibatkan peruntukan RM1 juta untuk peniaga kecil terjejas memulakan perniagaan dengan maksimum pinjaman RM5,000 pada Oktober depan.

Tambah beliau, kerajaan negeri juga menyalurkan bantuan bekalan makanan dan tunai setiap kali Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) iaitu bantuan disalurkan melalui Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) kepada rakyat terputus bekalan.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Phahrolrazi berkaitan sama ada Kedah akan memberikan peruntukan baharu untuk membantu penduduk terjejas akibat Covid-19.

Beliau memaklumkan setakat ini kerajaan negeri memiliki wang mencukupi dalam tempoh pandemik kerana banyak melakukan penjimatan.

"Banyak program peringkat negeri tidak boleh dilaksanakan jadi bolehlah simpan wang dan kita boleh terus dapatkan lagi bayaran premium serta cukai tertunggak untuk tambah pendapatan Kedah," katanya.