Kelantan buka 17 PKRC, tempatkan 2,070 pesakit

Seramai 2,070 pesakit Covid-19 masih ditempatkan di 17 PKRC di Kelantan. (Gambar kecil: Dr Zaini)
Seramai 2,070 pesakit Covid-19 masih ditempatkan di 17 PKRC di Kelantan. (Gambar kecil: Dr Zaini)
A
A
A

KOTA BHARU – Sebanyak 17 Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) masih dibuka di Kelantan yang menempatkan 2,070 pesakit.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr Zaini Hussin berkata, seramai 7,010 pesakit pula mendapatkan rawatan melalui pemerhatian di rumah atau Home Surveillance Order (HSO) berdasarkan tahap kesihatan mereka.

“Angka jangkitan ini masih lagi di tangga 1,000 disebabkan beberapa faktor antaranya ialah varian Delta memandangkan virus ini sudah berada dalam komuniti.

“Tambahan pula kini pergerakan semakin banyak dengan pembukaan beberapa sektor dalam negara, selain kegiatan ekonomi yang berterusan. Bagaimanapun, peratusannya semakin menurun selepas pengambilan vaksin,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini.

Menurutnya, pesakit Covid-19 yang dicatatkan di negeri ini kebanyakannya berada dalam kategori satu dan dua, manakala hanya tiga hingga lima peratus pesakit kategori empat dan lima.

Beliau berkata, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) juga antara salah satu sebab angka kes masih belum turun sebagaimana negeri lain.

“Ada dalam kalangan rakyat Kelantan yang masih belajar untuk hidup dalam keadaan endemik ini. Mungkin ia ambil masa untuk betul-betul sebati dengan kehidupan mereka terutamanya untuk memakai pelitup muka dan sebagainya.

“Namun kita tidak boleh terlalu lalai dan melambatkan proses penyesuaian tersebut memandangkan virus ini ada di mana-mana dan pengambilan vaksin juga perlu dilaksanakan sebaik mungkin.

Artikel Berkaitan:

“Ambil peluang yang ada untuk vaksinkan diri masing-masing. Itu salah satu langkah pencegahan yang kita laksanakan buat masa kini. Insya-ALLAH kita boleh lawan pandemik ini,” katanya.