X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 27 Jun 2022

Tiada permohonan cadangan bina taman tema di Cameron Highlands

Wan Rosdy melakukan tinjauan pemberian vaksin Covid-19 kepada pelajar berumur 16 dan 17 tahun di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Rangin pada Selasa.
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang tidak pernah menerima permohonan rasmi daripada mana-mana pihak berhubung cadangan membina taman tema baharu di Cameron Highlands.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pembinaan yang dikatakan di atas tanah persendirian itu juga tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Exco kerajaan negeri.

"Kita ada dengar cadangan itu tetapi sekadar sembang di kedai kopi, tiada permohonan rasmi yang dikemukakan mana-mana pihak.

"Jadi, kalau boleh kita jangan percaya borak (sembang) kedai kopi sebaliknya tanya punca kuasa (kerajaan Pahang) dahulu mengenai perkara ini. Jadi kita ucap terima kasih kepada pemberita kerana tanya soalan ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai bantahan penduduk setempat dan badan bukan kerajaan (NGO) mengenai cadangan pembinaan taman tema di Cameron Highlands.

Wan Rosdy sebelum itu melakukan tinjauan pemberian vaksin Covid-19 kepada pelajar berumur 16 dan 17 tahun di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Rangin pada Selasa.

Sebelum ini tular mengenai pembinaan taman tema baharu yang dikatakan bertemakan ski bernilai RM100 juta akan dibina di atas tanah seluas 24 hektar di Cameron Highlands.

Pada awal Ogos lalu, pemaju taman tema Sim Leisure Group dilaporkan berhasrat membina sebuah taman tema bernama 'ESCAPE Cameron Highlands".

Bagaimanapun penduduk tempatan dan pejuang alam sekitar bimbang ia hanya akan memburukkan lagi masalah tanah runtuh, pembangunan berlebihan dan penebangan hutan di sana.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Wan Rosdy menjelaskan pihak berkenaan tidak boleh bertindak jika belum mendapat kebenaran kerajaan negeri.

"Walaupun tanah persendirian bukan bermakna pihak berkaitan boleh bina kilang begitu sahaja, sebaliknya mereka perlu membuat permohonan dengan kerajaan.

"Kalau tanah persendirian itu ada kayu balak, apabila hendak keluarkan balak mereka perlu mendapat kebenaran kerajaan. Itu peraturannya," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!