X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 18 Oktober 2021

Pemberian vaksin kepada remaja secara 'walk-in'

Petugas kesihatan melakukan suntikan vaksin jenis Pfizer-BioNTech kepada pelajar sekolah menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Remaja) di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman, pada Selasa. - Foto Bernama
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Proses pemberian vaksin kepada remaja akan dilaksanakan secara 'walk-in' berjadual bermula Khamis ini.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan, langkah itu bagi mempercepatkan lagi proses pemberian vaksin kepada golongan tersebut.

"Jawatankuasa Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 Remaja (CITF-A) telah mengenalpasti 156 pusat pemberian vaksin (PPV) awam dan integrasi di seluruh negara bagi tempoh peralihan ini bertujuan meningkatkan kapasiti pemberian vaksinasi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja secara 'walk-in'," katanya.

Menurutnya, pelaksanaan kaedah itu juga akan dilakukan mengikut lokasi sekolah yang berhampiran dengan PPV dan mengikut giliran, tarikh serta masa ditetapkan.

"Jadual akan dikeluarkan oleh pihak sekolah kepada remaja dan ibu bapa," katanya.

Beliau memberitahu, pemberian vaksin itu melibatkan semua kategori remaja termasuk yang tidak bersekolah.

"Bagi remaja yang tidak bersekolah, mereka dibenarkan untuk 'walk-in' di mana-mana 156 PPV berdekatan dengan kediaman.

"Sekiranya kuota vaksin di PPV tersebut telah habis untuk hari tersebut, remaja berkenaan akan diberi janji temu di PPV sama keesokan hari atau di klinik kesihatan swasta yang berdekatan," katanya

Dr Noor Azmi yang juga Pengerusi CITF-A memberitahu, remaja yang menuntut di Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta berumur di bawah 18 tahun juga dibenarkan 'walk-in' ke semua PPV yang masih beroperasi ketika ini dengan menunjukkan pengenalan diri sebagai pelajar.

Bagaimanapun menurut beliau ibu bapa atau penjaga perlu hadir bersama untuk menandatangani borang kebenaran vaksinasi mereka

Bagi remaja yang telah mendapat tarikh vaksinasi di PPV sekolah, beliau berkata, kumpulan pelajar ini perlu mengekalkan janji temu sedia ada dan tidak dibenarkan 'walk-in' ke PPV awam atau integrasi.

"Sebagai langkah mengelakkan kesesakan di PPV, hanya salah seorang ibu atau bapa atau penjaga dibenarkan menemani remaja untuk tujuan vaksinasi," katanya.

PICK- Remaja dimulakan secara rasmi di peringkat kebangsaan pada 20 September dengan menyasarkan 3.2 juta golongan remaja berusia 12 hingga 17 tahun.

Sehingga Isnin, sebanyak 5,964 buah sekolah telah berdaftar dengan portal Vaksin-Anak-Ku.

Seramai 308,186 remaja telah menerima dos pertama vaksin Covid-19 dengan Sabah merekodkan bilangan tertinggi iaitu 118,141 orang diikuti Sarawak (88,473), Kedah (19,453), Kelantan (17,413) Johor (16,019) dan Labuan (2,523).


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!