Iktiraf kerajaan Afghanistan: Malaysia masih teliti situasi terkini

Saifuddin ketika menjawab soalan pada Mesyuarat Penggal Keempat, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen, pada Selasa. - Foto Bernama
Saifuddin ketika menjawab soalan pada Mesyuarat Penggal Keempat, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen, pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan masih meneliti situasi terkini yang berlaku di Afghanistan sebelum membuat keputusan sama ada untuk mengiktiraf kerajaan baharu yang ditubuhkan di negara tersebut.

Menteri Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, keputusan tersebut akan diperhalusi berdasarkan kepada beberapa pertimbangan yang ditetapkan.

“Pertama adalah tahap penerimaan rakyat Afghanistan sendiri terhadap penguasaan dan penubuhan kerajaan oleh Taliban. Kedua, kita dapati kerajaan sementara yang dibentuk masih tidak bersifat inklusif dengan tidak merangkumi penyertaan golongan etnik utama yang lain.

“Inklusiviti ini termasuk peranan wanita bukan sahaja dalam pentadbiran tetapi juga dari segi penjagaan dan promosi hak wanita dan anak perempuan dari aspek peranan serta sumbang mereka kepada masyarakat dan negara.

“Ketiga, Malaysia sentiasa berpegang bahawa kerajaan di Kabul itu mestilah berdasarkan pendekatan Afghan let Afghan own and Afghan control peace and reconciliation process’,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Dr Mohd Hatta Ramli (PH-Lumut) berkenaan pendirian Malaysia berhubung pengiktirafan terhadap negara Afghanistan di bawah pemerintahan baharu Taliban di Parlimen pada Selasa.

Saifuddin menjelaskan, kerajaan sentiasa melaksanakan dasar luar yang bebas, berprinsip dan pragmatik berasaskan nilai keamanan, kemanusiaan keadilan serta kesaksamaan.

Menurut beliau, keputusan untuk sama ada mengiktiraf kerajaan di Afghanistan itu juga akan dilakukan berdasarkan maklumat diperoleh daripada rangkaian hubungan yang dimiliki oleh kerajaan dan bukannya berdasarkan gambaran atau naratif yang diberikan oleh pihak tertentu.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, ia termasuk perhubungan tidak rasmi yang dimiliki oleh beberapa tokoh pemimpin negara bersama pelbagai jenis kumpulan di Afghanistan di samping menggukana platform sedia ada seperti Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

“Sebahagian daripada ahli Parlimen di sini juga ada hubungan yang baik dengan mereka. Ini jangan disalah faham, bukan berhubung dengan Taliban tetapi dengan pihak-pihak lain.

“Ini termasuk Yang Berhormat Marang (Datuk Seri Abdul Hadi Awang), Kota Raja (Mohamad Sabu), Port Dickson (Datuk Seri Anwar Ibrahim).

“Mereka ini semua ada hubungan dengan pelbagai kumpulan sebab kita tahu di Afghanistan ini, ada banyak kumpulan dan mereka ini sejak sekian lama hidup dalam keadaan tertekan,” ujarnya.

Tambah Saifuddin, Malaysia juga akan memberikan tumpuan untuk memberikan bantuan kemanusiaan sementara menunggu keputusan berhubung isu pengiktirafan tersebut.