Peruntuk RM200,000 beli dron, latih pengendali tingkat hasil padi

Tuan Mohd Saripudin (dua dari kiri) merasmikan demonstrasi pengendalian dron di Kampung Jelor, Selising, Pasir Puteh pada Selasa.
Tuan Mohd Saripudin (dua dari kiri) merasmikan demonstrasi pengendalian dron di Kampung Jelor, Selising, Pasir Puteh pada Selasa.
A
A
A

PASIR PUTEH - Kerajaan Kelantan memperuntukkan RM200,000 untuk membeli dron dan melatih pengendali alatan itu dalam usaha meningkatkan lagi hasil pengeluaran padi di negeri ini.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar Kelantan, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, penggunaan dron yang betul terbukti berkesan dalam membantu meningkatkan pengeluaran hasil padi.

"Teknik yang betul dalam penggunaan dron ini amat penting, sebab itulah kita memberikan fokus utama kepada aspek tersebut," katanya kepada pemberita semasa merasmikan demonstrasi pengendalian dron di Kampung Jelor, Selising di sini pada Selasa.

Seramai 30 peserta mengikuti sesi latihan itu dalam usaha kerajaan negeri melahirkan tenaga pakar dalam mengendalikan alatan tersebut.

Menurutnya, sebagai permulaan kerajaan negeri telah membeli tiga unit dron dan akan menambah bilangannya dari semasa ke semasa.

Beliau berkata, penggunaan dron kini dilihat sebagai satu keperluan kerana terdapat lebih 30,000 hektar tanah yang diusahakan dengan tanaman padi di negeri ini.

Tuan Mohd Saripudin berkata, kerajaan negeri berharap para pelatih dapat mengambil seberapa banyak ilmu pengendalian dron.

Katanya, ia amat penting supaya hasil pertanian akan terus dipertingkatkan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Kolej Komuniti Sabak Bernam, Mohd Rizal Tayab berkata, penggunaan dron terbukti berjaya mengurangkan 50 peratus perbelanjaan dalam kerja-kerja meracun.

"Selain itu, teknik ini turut menjimatkan masa dan mengurangkan penggunaan tenaga kerja.

"Penggunaan dron mula aktif di negara ini pada tahun 2017 lalu bermula di tengah, utara dan seterusnya ke pantai timur," katanya.