Warga emas maut digilis lori tanah

Mangsa yang menunggang motosikal maut akibat digilis lori di Sungai Siput. Foto: Ihsan pembaca
Mangsa yang menunggang motosikal maut akibat digilis lori di Sungai Siput. Foto: Ihsan pembaca
A
A
A

SUNGAI SIPUT - Seorang lelaki warga emas maut digilis sebuah lori muatan tanah di persimpangan lampu isyarat di Kilometer 28.5, Jalan Ipoh-Kuala Kangsar di sini pada Selasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.15 pagi itu, mangsa berusia 60-an yang menunggang motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di seluruh badan.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, kemalangan membabitkan motosikal jenis Modenas Kriss dari arah Lintang, manakala lori yang dipandu lelaki berusia 30-an dari arah Kuala Kangsar.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada tindakan mangsa yang dipercayai telah melanggar lampu isyarat merah.

"Apabila sampai di lampu isyarat, tiba-tiba motosikal berkenaan telah melintas jalan menyebabkan lori terbabit tidak sempat mengelak lalu melanggar dan menggilis mangsa.

"Mangsa disahkan maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah manakala pemandu lori berkenaan tidak cedera," katanya.

Mohd Khaizam berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Siput untuk bedah siasat.

"Pemandu lori ditahan untuk siasatan lanjut dan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel Berkaitan: