Pemotong rumput mengaku tidak bersalah rogol adik ipar

Tertuduh (tengah) dihadapkan di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu pada Selasa atas dakwaan merogol adik iparnya pada Februari dan Julai lalu.
Tertuduh (tengah) dihadapkan di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu pada Selasa atas dakwaan merogol adik iparnya pada Februari dan Julai lalu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang pemotong rumput didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas tiga pertuduhan merogol adik iparnya yang berusia 12 tahun dalam kejadian pada Februari dan Julai lalu.

Tertuduh yang juga bapa kepada dua anak berusia 36 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah bilik di Kampung Kelulut, Marang kira-kira jam 9 malam pada Februari lalu iaitu perhubungan dengan kanak-kanak perempuan itu tidak dibenarkan mengikut undang-undang, hukum agama, adat atau berkahwin dengannya.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lapan tahun hingga 30 tahun dan tidak kurang 10 sebatan jika disabitkan kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga tertuduh didakwa melakukan perbuatan sama terhadap mangsa di lokasi yang sama pada malam 20 hingga 31 Julai lalu.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh 24 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Tertuduh juga dikehendaki melaporkan diri di Balai Polis Chendering di sini, pada setiap awal bulan.

Pendakwaan kes tersebut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Intan Nor Hilwani Mat Rifin manakala tertuduh diwakili peguam Che Amir Che Musa.

Artikel Berkaitan: