Pelan induk pastikan pasaran modal lebih relevan, cekap: SC

Datuk Syed Zaid bin Syed Jaffar Albar - Foto Ihsan MBSB
Datuk Syed Zaid bin Syed Jaffar Albar - Foto Ihsan MBSB
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pelan Induk Pasaran Modal 3 (CMP3) akan memastikan pasaran modal Malaysia kekal relevan dengan peningkatan ekonomi serta lebih cekap dalam menggerakkan modal ke sektor ekonomi yang produktif dan seterusnya menggalakkan kepelbagaian yang lebih hebat.

Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Datuk Syed Zaid Albar berkata, ketika Malaysia dalam peralihan untuk menjadi ekonomi berpendapatan tinggi, adalah penting untuk memastikan pertumbuhan bersifat inklusif dengan keuntungan ekonomi dikongsikan secara lebih luas merentasi seluruh rakyat Malaysia.

"Intervensi atau campur tangan yang disasarkan dengan baik diperlukan untuk membentuk pasaran modal kita bagi membolehkan penyertaan yang lebih luas dalam proses pembentukan modal, memudahkan mobilisasi simpanan yang lebih inklusif dan berkesan serta menanam budaya tadbir urus korporat yang baik.

"Dalam usaha memenuhi cabaran ini, nada dan hala tuju masa depan untuk pasaran modal kita serta para pesertanya harus ditetapkan menawarkan beberapa petunjuk. Ringkasnya, CMP3 menginginkan pasaran modal dan ekosistem yang menyokong serta berfungsi untuk kepentingan bersama," katanya dalam CMP3 bagi 2021 hingga 2025 yang diterbitkan SC pada Selasa.

Inisiatif strategik dalam tempoh lima tahun akan datang akan dipandu oleh enam teras pembangunan dan peraturan utama.

Syed Zaid berkata, teras-teras strategik ini memfokuskan kepada memangkinkan pertumbuhan yang kompetitif, memperkasa para pelabur untuk masa depan yang lebih baik serta membentuk ekonomi pihak berkepentingan dan pada masa yang sama menerapkan tanggungjawab bersama, mengutamakan kecekapan dan hasil dan menguasai teknologi.

Menurutnya, keutamaan ini bertujuan memastikan pasaran modal mencapai tiga hasil yang diinginkan.

"Pertama, pasaran modal mesti terus berinovasi untuk kekal relevan bagi memenuhi kehendak ekonomi dan pelabur masa depan.

Artikel Berkaitan:

"Kedua, ia harus menyediakan infrastruktur dan perkhidmatan yang cekap dan boleh dipercayai, disertai dengan seni bina peraturan yang sesuai dan berkembang seiring dengan perubahan trend dan tingkah laku.

"Akhir sekali, ekosistem pasaran yang pelbagai adalah prasyarat untuk memperkukuh daya saing pasaran modal Malaysia secara keseluruhan," katanya.

Pasaran yang pelbagai lapis ini akan disokong oleh landskap perantaraan yang berdaya saing dan teknologi yang membolehkan peserta pasaran berinovasi dan berkembang.

"Mencapai hasil yang diinginkan ini menuntut setiap pihak berkepentingan untuk menerapkan beberapa bahan penting untuk berjaya.

'’Standard penjagaan yang tinggi, ketekunan dan tadbir urus harus diutamakan dalam semua produk dan segmen pasaran," jelas beliau.

Syed Zaid juga berkata, perantara dan penyedia perkhidmatan perlu menggabungkan ketangkasan dan fleksibiliti ke dalam proses kerja mereka, disokong oleh pengurusan risiko yang efektif, penggunaan modal dan sumber daya yang lebih baik serta penekanan yang lebih besar pada bakat dan keterampilan inovatif. - Bernama