Masuk politik bukan untuk jadi menteri

Bicara Minda bersama Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yoe Bee Yin (kanan). FOTO SINAR HARIAN/ASRIL ASWANDI SHUKOR
Bicara Minda bersama Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yoe Bee Yin (kanan). FOTO SINAR HARIAN/ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin mengakui beliau menceburi politik bukan untuk menjadi menteri.

Sebaliknya, Ahli Parlimen Bakri itu berkata, tujuannya memasuki dunia politik adalah untuk membawa perubahan kepada negara.

"Bagi saya, perubahan dari segi sistem itu penting. Saya masuk politik bukan sebab nak jadi menteri tetapi saya mahu menyumbang atau buat sedaya upaya untuk membawa perubahan.

"Sebagai Ahli Parlimen atau menteri, 'mind set' saya sama saja iaitu saya nak buat yang terbaik untuk beri impak positif kepada masyarakat. Sama ada saya berpuas hati dengan prestasi ketika ini, itu biar rakyat tentukan," katanya dalam program Bicara Minda anjuran Sinar Harian, semalam.

Menjadi menteri wanita dan antara yang termuda dalam Kabinet ketika ini, Bee Yin berharap masyarakat dapat mengubah persepsi kononnya golongan wanita tidak boleh berjaya.

"Saya tengok banyak wanita sekarang yang berjaya dalam bidang berbeza. Saya rasa kita bukan saja ada peranan untuk jadi diri sendiri, tetapi juga menjadi inspirasi kepada orang lain.

"Saya harap kisah saya dan ramai lagi wanita yang berjaya memberi inspirasi kepada generasi akan datang.

Jangan sesekali kita memandang rendah kepada kemampuan wanita kerana kita juga boleh menyumbang kepada negara," katanya.

Artikel Berkaitan: