Harga ayam: KPDNHEP Pulau Pinang keluar 49 notis

Penguat kuasa KPDNHEP ketika melakukan pemeriksaan dan pemantauan sekitar pasar awam di Pulau Pinang.
Penguat kuasa KPDNHEP ketika melakukan pemeriksaan dan pemantauan sekitar pasar awam di Pulau Pinang.
A
A
A

GEORGETOWN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang mengeluarkan 37 Notis Pengesahan Maklumat Barangan/Perkhidmatan (NPMB) dan 12 Notis Bertulis (NB) kepada penternak, pemborong dan peniaga ayam di negeri ini.

Pengarah KPDNHEP Pulau Pinang, Mohd Ridzuan Ab Ghapar berkata, tindakan itu dibuat ketika pihaknya menjalankan pemeriksaan dan pemantauan untuk mengenalpasti punca kenaikan harga ayam sekitar pasar awam di Pulau Pinang.

Menurutnya, pemeriksaan dan pemantauan itu dijalankan oleh Seksyen Penguat Kuasa KPDNHEP Pulau Pinang ke atas rantaian pembekalan ayam.

"Kita telah mengeluarkan 37 NPMB dan 12 NB kepada penternak, pemborong dan peniaga.

"Peniaga diberikan lima hari bagi notis NB dan dua hari bagi notis NPMB untuk memberikan maklumat kenaikan harga ayam sebelum dianalisa bagi mengenalpasti kenaikan harga yang berlaku.

"Ia bertujuan bagi memastikan tiada kenaikan harga dalam mendapatkan keuntungan yang tidak munasabah," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Mohd Ridzuan berkata, mana-mana pihak yang didapati cuba mendapatkan keuntungan yang tidak munasabah akan dikenakan tindakan tegas di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.

"Kita telah mengadakan satu sesi libat urus bersama penternak, pemborong dan peniaga di negeri ini bagi membantu menstabilkan harga ayam di peringkat rantaian pembekalan serta di pasar awam.

Artikel Berkaitan:

"Hasil perbincangan pada semua peringkat yang terlibat, harga ayam di seluruh Pulau Pinang telah menunjukkan penurunan harga selaras dengan komitmen kementerian dan penternak serta pemborong supaya peruncit boleh menjual ayam pada harga RM9.50 sekilo di pasar awam," katanya.

Dalam masa sama, Mohd Ridzuan berkata, pihaknya juga menjalankan penguatkuasaan pematuhan berhubung harga maksimum Kit Ujian Pantas Antigen Covid-19 (ujian sendiri) di peringkat borong pada RM16 dan di peringkat runcit, RM19.90.

Tambahnya lagi, pemeriksaan telah dijalankan ke atas 222 premis perniagaan di seluruh negeri bagi memantau pematuhan harga maksimum oleh pemborong dan peruncit sejak 5 September lalu.

"Hasil pemeriksaan mendapati, ada peniaga runcit di sekitar Seberang Jaya mampu menawarkan Kit Ujian Pantas Antigen Covid-19 pada harga RM16.50 sekotak.

"Oleh demikian, KPDNHEP Pulau Pinang menasihatkan peniaga supaya berhemah serta beretika dalam perniagaan untuk menangani isu harga ayam serta mematuhi harga maksimum Kit Ujian Pantas Antigen Covid-19 yang ditetapkan oleh kerajaan bagi memutuskan rantaian Covid-19," katanya.