X

Kindly register in order to view this article
!

KWSP perlu bantu peminjam PTPTN

A
A

SETELAH Mei 9, 2018, ramai yang menaruh harap kepada Pakatan Harapan untuk menyelesaikan isu peminjaman PTPTN. Janjinya menggunung. Dalam ceramah ada yang menyebut untuk menghapuskan peminjaman dan ada juga yang menyebut apabila gaji mencapai RM4,000 barulah peminjam perlu membayar.

Namun demikian apabila Wan Saiful diberi mandat, kaedah beliau amat mudah dan dangkal sekali. Potong gaji terus. Ada yang sampai RM600 sebulan. Bagi saya Pakatan Harapan telah menghancurkan bukan sahaja harapan siswazah yang terkial-kial mencari kerja tetapi juga ibu bapa yang terpaksa menanggung sebagai penjamin pinjaman PTPTN.

Dalam artikel ini saya ingin mengusulkan pandangan saya tentang bagaimana pihak PTPTN boleh mendapat pembayaran balik dengan cara yang kurang membebankan anak-anak kita semua serta ibu bapa. Dalam cadangan saya ini pihak KWSP memainkan peranan utama dalam penyelesaian masalah ini.

Cadangan pertama saya adalah pihak PTPTN tidak patut ‘mengacau’ siswazah peminjam sekurang-kurangnya selama lima tahun. Dalam lima tahun saya beranggapan siswazah sudah boleh mencari kerja dan caruman KWSP dalam jangka masa lima tahun boleh menjangkau RM20,000 hingga RM30,000.

Cadangan saya adalah PTPTN boleh menuntut RM15,000 jika pencarum KWSP mempunyai caruman sekurang-kurangnya RM20,000. Pihak PTPTN boleh membuat arahan kepada pihak KWSP jika pencarum adalah peminjam PTPTN dan wang carumannya daripada potongan gaji dan juga sumbangan majikan mencecah RM20,000 maka secara automatik, RM15,000 akan dipindahkan ke akaun peminjam PTPTN bagi bayaran balik.

Maka itu, jika si peminjam PTPTN mempunyai hutang RM30,000, si peminjam hanya perlu menyelesaikan baki RM15,000 dalam jangka 10 tahun dengan caj 1% setahun. Saya kira peminjam hanya perlu menyumbang RM120 sebulan pada gaji yang saya rasa ketika itu telah pun meningkat dengan lebih tinggi daripada gaji permulaan.

Berbanding dengan sekarang, siswazah berijazah hanya mendapat kurang dari RM2,000 dan terpaksa menyumbang RM250 setiap bulan dan ini amat membebankan mereka yang terpaksa menanggung majikan yang membayar gaji rendah untuk graduan.

Kalau dibandingkan dengan gaji kerani berkelulusan SPM di jabatan kerajaan yang boleh mendapat RM1,400 maka saya rasa ramai anak-anak kita tidak akan lagi berminat belajar di universiti untuk ijazah kerana pulangan gaji RM2,000 tidak berbaloi dengan pelaburan wang dan masa. Saya kira pihak PH perlu memaksa para majikan meletakkan gaji minima RM2,500 sebagai undang-undang seperti gaji minima yang telah ditetapkan oleh mereka yang tidak berpendidikan tinggi.

Cadangan kedua saya adalah pihak KWSP boleh meluluskan pengeluaran wang caruman ibu bapa untuk membantu membayar habis atau sekurang-kurangnya RM15,000 untuk membantu anak-anak mereka dalam memulakan hidup baru. Ibu bapa tentunya mempunyai simpanan berpuluh-puluh ribu ataupun ada yang beratus ribu.

Ketiga, cadangan saya adalah jika berlaku kematian dan terdapat hutang yang tidak terbayar PTPTN perlu bersikap tolak ansur dan memutihkan akaun tersebut supaya ibu bapa tidak terjatuh ditimpa tangga. Bagi peminjam baharu satu syarat harus dikenakan untuk mencarum kepada insurans nyawa yang memerlukan RM200 setahun sahaja bagi membantu jika berlaku perkara tidak diingini.

Bagi peminjam PTPTN yang dibuang kerja kerana syarikat mengecil maka mereka perlu diberikan sehingga setahun gratis tidak menyumbang bayaran sehingga mereka mendapat kerja kembali. Jika mereka masih tidak dapat pekerjaan, pihak PTPTN boleh memotong bulanan daripada caruman KWSP sedia ada sehingga siswazah dapat kerja kembali.

Masalah utama dari cadangan saya ini saya jangka akan datang daripada pihak KWSP sendiri. Pihak KWSP saya jangka menentang habis-habisan cadangan saya ini kerana mereka akan mengatakan bahawa cadangan saya akan merosakkan masa depan hari tua pekerja-pekerja.

Jawapan saya kepada pihak KWSP adalah pertama, saya ingin mengingatkan KWSP bahawa duit yang mereka pegang BUKANNYA duit mereka tetapi duit pencarum! Jangan disebabkan pihak KWSP hendak meraih keuntungan besar daripada pelaburan maka ditahannya duit kita dari dikeluarkan untuk membayar hutang PTPTN.

Saya masih ingat lagi, KWSP telah diarahkan oleh seorang tokoh politik veteran untuk membeli saham-saham yang terlebih nilai pasaran bagi memberi keuntungan kepada kroni-kroni dan anak-anaknya. Jadi, tolong jangan bagi alasan pendek akal bagi pencarum seperti saya bahawa wang KWSP yang dikeluarkan bakal menjadi kesusahan kepada pesara-pesara.

Pokok pangkalnya, kita semua tidak tahu akan hujung nyawa kita sama ada ditakdirkan hidup selama itu. Apa yang pasti adalah kita memerlukan wang kita dalam KWSP untuk membantu anak-anak kita dan juga siswazah-siswazah yang baru bekerja.

Saya rasa bahawa cadangan ini tidak rumit langsung. Pertama, jangan kacau siswazah selama lima tahun selepas tamat belajar.

Kedua jika caruman KWSPmenjangkau RM20,000 maka pindahan automatik dibuat ke akaun PTPTN. Peminjam PTPTN hanya mula membayar baki hutang dalam tahun keenam selepas tamat belajar.

Ketiga, ibu bapa atau penjamin dibenarkan mengeluarkan wang caruman RM15,000 untuk dipindahkan ke akaun peminjam PTPTN.

Keempat, pihak EPF jangan buat banyak songel dan hanya perlu bersetuju bagi pencarum menggunakan dan menguruskan wang serta masa depan mereka sendiri.

Dengan cara begini, para siswazah dan penjamin tidak perlu risau selama lima tahun dan pihak PTPTN akan mendapat balik wang pinjaman dengan sepenuhnya tanpa gertakan dan kompelin yang banyak dari peminjam PTPTN.

* Penulis ialah Profesor Senibina di sebuah universiti swasta tempatan


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus