UiTM Terengganu rintis projek solar di IPT

Dr Ermeey (kanan) bersama Dr Mazidah menunjukkan solar inverter yang dipasang pada bumbung letak kereta.
Dr Ermeey (kanan) bersama Dr Mazidah menunjukkan solar inverter yang dipasang pada bumbung letak kereta.
A
A
A

DUNGUN – Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Terengganu kampus Dungun di sini berjaya membangunkan kemudahan penjanaan tenaga solar dan pembekalan tenaga elektrik penjanaan solar sekaligus menjadi perintis kepada projek solar di institusi pengajian tinggi awam di Terengganu.

Ketua Projek Tenaga Solar UiTM Cawangan Terengganu, Dr Ermeey Abd Kadir berkata, penggunaan teknologi tenaga solar memberi banyak kelebihan sama ada dari segi penjimatan, penjanaan tenaga dan penyelidikan.

Menurutnya, sejak penggunaan solar, UiTM Cawangan Terengganu mampu menjimatkan kos penggunaan elektrik di kampus antara RM50,000 hingga RM80,000 sebulan berbanding kos sebenar RM350,000 bergantung kepada penggunaan.

“Selain penjimatan penggunaan elektrik antara 15 hingga 20 peratus, projek solar ini juga sudah menjana pendapatan sebanyak RM700,000 melalui eksport tenaga kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas meninjau lokasi projek panel solar di UiTM Cawangan Terengganu Kampus Dungun di sini pada Isnin. Hadir sama, Rektor UiTM Cawangan Terengganu, Profesor Dr Mazidah Puteh.

Panel solar yang dipasang pada bumbung tempat letak kereta UiTM Cawangan Terengganu kampus Dungun.
Panel solar yang dipasang pada bumbung tempat letak kereta UiTM Cawangan Terengganu kampus Dungun.

Dr Ermeey berkata, projek pemasangan 3,885 panel solar di beberapa lokasi seperti dewan serbaguna, tempat letak kereta berbumbung serta bumbung bangunan di kampus telah dimulakan pada Julai 2020 dan siap pada Disember melibatkan kos RM6 juta.

Katanya, tenaga solar berkapasiti 1.6MW itu mempunyai tempoh matang sehingga 25 tahun dan pihaknya bercadang melaksanakan projek sama di UiTM kampus Chendering dan kampus Bukit Besi pada tahun depan melibatkan anggaran kos sebanyak RM3 juta.

Artikel Berkaitan:

“Kita juga bersedia berkongsi kepakaran kita dengan mana-mana agensi milik kerajaan, swasta atau rakan institusi pengajian tinggi yang berminat menceburkan diri dalam penggunaan solar di tempat masing-masing,” katanya.

Sementara itu Dr Ermeey memaklumkan bahawa UiTM Cawangan Terengganu juga akan memperkenalkan satu program baharu iaitu Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Sistem Pintar yang dijangka dimulakan pada dua tahun lagi.

“Program pertama dalam negara ini akan disertai 30 pelajar. Program baharu ini seiring dengan kehendak dan keperluan semasa dan projek tenaga solar yang ada di sini juga akan menjadi salah satu aspek pembelajaran,” katanya.