X

Kindly register in order to view this article
!

Pinda akta lagu kebangsaan

A
A

LAGU Negaraku berasal daripada adaptasi lagu ‘Allah Lanjutkan Usia Sultan’, sebuah lagu yang diangkat menjadi lagu rasmi negeri Perak pada tahun 1888 dan dikatakan berasal dari Pulau Mahé di Kepulauan Seychelles yang dibawa pulang oleh Sultan Abdullah setelah Baginda Sultan tamat tempoh hukuman dibuang negeri kerana didakwa terlibat dalam peristiwa pembunuhan Residen British, J.W.W. Birch di Pasir Salak.

Pada 5 Ogos 1957, lagu ini telah dipilih sebagai lagu kebangsaan dan seni katanya bertajuk Negaraku telah ditulis oleh Saiful Bahri. Rentak lagu Negaraku’ telah mengalami sedikit perubahan dan rentak baharu ini pertama kali dimainkan pada waktu tengah malam sambutan Ambang Merdeka, 31 Ogos 2003.

Apabila lagu Negaraku diangkat menjadi lagu rasmi kebangsaan, pihak kerajaan telah mengambil inisiatif pada tahun 1968 untuk menggubal Akta Lagu Kebangsaan 1968 (ALK) bagi melindungi maruah dan kehormatan lagu Negaraku ALK kemudiannya disemak semula pada tahun 1989.

Kelihatan pada hari ini, semakin ramai rakyat Malaysia yang kurang menyedari hakikat bahawa menghormati lagu kebangsaan adalah satu kewajipan undang-undang seperti yang termaktub dalam ALK. Menurut seksyen 8(1) ALK, setiap individu hendaklah menunjukkan rasa hormat kepada lagu kebangsaan yang sedang dimainkan dengan cara berdiri tegak.

Jika mana-mana individu didapati tidak berdiri tegak atau tidak menunjukkan rasa hormat ketika lagu Negaraku dimainkan, individu tersebut boleh didakwa di bawah subseksyen 8(2) ALK yang membawa denda maksimum RM100 atau penjara maksimum satu bulan.

Bagi menunjukkan keseriusan terhadap kesalahan ini, pegawai polis telah dibenarkan untuk menangkap mana-mana individu yang gagal untuk menghormati lagu kebangsaan tanpa waran seperti yang disebut di bawah seksyen 9 ALK.

Namun, disebabkan oleh hukuman yang dikenakan agak ringan, ramai pihak yang mengambil ringan peruntukan undang-undang untuk menghormati lagu kebangsaan ini.

Adalah dicadangkan agar pihak kerajaan untuk sekali lagi membuat semakan semula terhadap ALK dan mengenakan hukuman yang lebih berat kepada mana-mana individu yang gagal untuk menghormati lagu kebangsaan. Nilai denda dan tempoh penjara wajar dinaikkan lebih tinggi supaya perkara ini tidak dipandang ringan oleh mana-mana pihak.

Antara pindaan yang wajar dibuat oleh kerajaan terhadap ALK ini adalah seperti meletakkan hukuman minimum berbanding peruntukan sekarang yang meletakkan hukuman maksimum. Sebagai contoh, mengenakan hukuman denda tidak kurang daripada RM1,000 berbanding peruntukan sedia ada dalam ALK yang mengenakan hukuman denda tidak melebihi RM100.

Selain itu, ALK juga perlu mempunyai peruntukan yang lebih jelas dalam menentukan perbuatan yang bagaimana boleh dianggap sebagai tidak menghormati lagu kebangsaan. Sebagai contoh, dalam keadaan kemajuan teknologi pada hari ini, banyak tindak-tanduk kita yang dilihat sebagai tidak menghormati lagu kebangsaan, namun tiada peruntukan yang jelas wujud dalam ALK yang membolehkan untuk sebarang tindakan diambil.

Mengambil Singapura sebagai contoh. Dalam peruntukan undang-undang berkenaan lagu kebangsaan Singapura, lagu Majulah Singapura boleh disusun semula dengan syarat ia haruslah menjaga maruah dan identiti lagu kebangsaan, tidak dicampuradukkan dengan lain-lain melodi lagu (remix) dan susunan semula lagu tersebut menepati tempo dan lirik

Namun, peruntukan spesifik sebegini tidak ada dalam ALK. Maka disebabkan itulah ada kes tertentu yang membuat rentak lagu Negaraku yang dilihat seolah-olah tidak menghormati semangat lagu Negaraku.

Turut perlu diberikan penekanan, adakah tindakan mengubah tempo lagu ‘Negaraku’ boleh dilihat sebagai tidak menghormati lagu Negaraku? Sebagai contoh, jika lagu Negaraku diubah tempo kepada lebih laju atau berunsurkan genre muzik rap, adakah ini boleh dikenakan tindakan undang-undang?

Isu lain berkenaan lagu kebangsaan yang perlu kita lihat adalah, bagaimana pula jika lagu Negaraku dialih bahasa? Sebagai contoh, jika lagu Negaraku dialih bahasa kepada bahasa Inggeris atau lain-lain bahasa, adakah ini akan dianggap sebagai tindakan tidak menghormati lagu kebangsaan? Jika di Singapura, lagu Majulah Singapura dalam bahasa Melayu tidak dibenarkan untuk dialih bahasa walaupun ke dalam bahasa Inggeris.

Melihat pula ke Filipina, Dewan Rakyat Filipina pada 26 Jun 2017 yang lalu baru meluluskan sebuah rang undang-undang yang mewajibkan semua rakyat Filipina menyanyikan lagu kebangsaan Filipina dengan penuh semangat dan bertenaga.

Kegagalan untuk menyanyikan lagu kebangsaan Filipina dengan baik dan bertenaga boleh dikenakan denda sehingga 100,000 Peso (bersamaan dengan sekitar RM7,800) atau 1 tahun penjara. Jika kesalahan berulang, individu boleh dikenakan kedua-dua denda dan penjara serta dikenakan hukuman pencelaan awam (public censure) yang akan diterbitkan di akhbar-akhbar utama.

Kerajaan Malaysia perlu melakukan inisiatif dalam membawa semangat lagu Negaraku ke dalam jiwa setiap rakyat Malaysia. Lagu ini perlu lebih kerap dimainkan di tempat-tempat awam dan bukannya ketika majlis rasmi sahaja.

Sebagai contoh, inisiatif kerajaan dalam mewajibkan pihak panggung wayang untuk memainkan lagu kebangsaan sebelum sesebuah filem dimainkan ketika minggu sambutan kemerdekaan adalah satu usaha yang wajar dipuji. Namun ini masih tidak mencukupi.

Jika dilihat kepada negara jiran seperti Thailand, telah mewajibkan supaya lagu kebangsaan Thailand di mainkan dua kali sehari setiap hari iaitu setiap jam 8 pagi dan 6 petang. Lagu kebangsaan Thailand akan dimainkan tempat-tempat awam terpilih termasuk di stesen-stesen tren dan semua orang, termasuk pelancong, wajib untuk berdiri tegak bagi menghormati lagu kebangsaan tersebut. Malah, lagu kebangsaan Thailand turut dimainkan di corong radio dan televisyen setiap jam 8 pagi dan 6 petang, setiap hari.

Menyanyikan lagu kebangsaan bukan sahaja perlu dilakukan oleh pelajar-pelajar sekolah ketika perhimpunan ataupun ketika majlis-majlis rasmi Kerajaan, tetapi juga perlu dijadikan amalan berterusan dengan memainkan lagu kebangsaan setiap hari supaya semangat yang ada dalam lagu kebangsaan boleh terus dihayati.

Jika rakyat gagal untuk menghayati semangat lagu Negaraku, maka akan timbullah pelbagai masalah berkaitan semangat kenegaraan. Ramai rakyat Malaysia pada hari ini sudah semakin hilang kesetiaannya pada negara. Malah, ramai juga yang langsung tiada semangat patriotik. Disebabkan itulah kita boleh lihat pada hari ini ada segelintir rakyat Malaysia yang sentiasa memburuk-burukkan nama negara di luar negara. Ini tidak sepatutnya berlaku.

Adalah menjadi keperluan bagi pihak Kerajaan untuk menyemak semula ALK supaya lagu ‘Negaraku’ lebih dihormati dan mendapat tempat dalam kalangan rakyat negara kita. Lagu ‘Negaraku’ harus dilihat sebagai satu simbol maruah dan semangat patriotik rakyat Malaysia.

* Penulis ialah seorang peguam


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus