MAIWP biaya Gerobok Rezeki

Idris (dua dari kiri) melakukan simbolik penyerahan cek kepada Mohd Ajib (dua dari kanan) di Masjid Jamek Al Khadijah, Pantai Dalam pada Isnin.
Idris (dua dari kiri) melakukan simbolik penyerahan cek kepada Mohd Ajib (dua dari kanan) di Masjid Jamek Al Khadijah, Pantai Dalam pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) meluluskan dana zakat sebanyak RM937,000 bagi membiayai pelaksanaan Program Gerobok Rezeki melibatkan masjid dan surau.

Menerusi pelaksanaan itu, sejumlah 89 masjid dan 123 buah surau di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya dipilih untuk menyertai program berkenaan.

Unit Komunikasi Korporat MAIWP dalam kenyataan pada Isnin memaklumkan, Program Gerobok Rezeki itu membantu golongan miskin bandar dengan membekalkan barangan keperluan harian kepada masyarakat tanpa sebarang syarat.

“Pada kali ini, Program Gerobok Rezeki dilaksanakan di masjid dan surau yang bukan sahaja menjadi tempat beribadat namun sebagai pusat pembangunan ilmu dan perkembangan ummah,” katanya.

Dalam pada itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Idris Ahmad pada Isnin turut menyempurnakan simbolik penyerahan cek bagi pelaksanaan Program Gerobok Rezeki MAIWP di Masjid Jamek Al Khadijah, Pantai Dalam, di sini.

Cek diserahkan kepada Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Datuk Mohd Ajib Ismail dan disaksikan oleh Pemangku Ketua Eksekutif MAIWP, Mohd Nizam Yahya.

Dalam pada itu, kenyataan itu turut menyebut selain memberi fokus di surau dan masjid, program itu juga dilaksanakan di peringkat sekolah.

“Sebanyak 100 buah sekolah di Wilayah Persekutuan terlibat dengan program ini membabitkan perbelanjaan sebanyak RM500,000,” kata kenyataan berkenaan.

Artikel Berkaitan: