Warta kawasan penternakan ayam

Kerajaan negeri Perak perlu mewartakan kawasan industri penternakan ayam bagi menjamin keperluan dan harga bekalan bahan itu untuk jangka masa panjang. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Aswannudin)
Kerajaan negeri Perak perlu mewartakan kawasan industri penternakan ayam bagi menjamin keperluan dan harga bekalan bahan itu untuk jangka masa panjang. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Aswannudin)
A
A
A

IPOH - Kerajaan negeri Perak perlu mewartakan kawasan industri penternakan ayam bagi menjamin keperluan dan harga bekalan bahan itu untuk jangka masa panjang.

Ahli Gerakan Pengguna Negeri Perak, Aswannudin Hariffudin berkata, pewartaan itu penting bagi menarik minat pelabur untuk melabur dalam industri berkenaan.

Menurutnya, pada ketika ini banyak ladang ayam terpaksa ditutup kerana berada berhampiran kawasan perumahan sedangkan ladang-ladang terbabit didirikan lebih awal.

"Sudah berpuluh tahun pengusaha mendirikan ladang ayam, tetapi apabila kawasan dahulunya hutan, ditukar status ke kawasan perumahan baharu, maka mereka diarahkan tutup kerana dikatakan berada dekat dengan kawasan perumahan.

"Keadaan ini pastinya mengakibatkan perusahaan yang dijalankan terganggu sekaligus menjejaskan pengeluaran ayam sedia ada

"Apabila kita berjaya menarik pelaburan jangka masa panjang, penternak yakin dengan kekuatan pasaran dan sekaligus mampu meningkatkan pengeluaran ayam sedia ada," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, dalam hal itu, pihak berkuasa negeri juga perlu memainkan peranan sebagai pemudahcara dalam hal-hal dihadapi penternak terutama berkaitan status tanah, urusan lesan dan cukai.

Katanya, daripada tinjauan didapati, prosedur yang terlalu ketat juga menyumbang kepada kurangnya minat penternak untuk menambah pengeluaran ayam di ladang masing-masing.

Artikel Berkaitan:

"Isu harga ayam yang terlalu mahal dan membebani rakyat sudah dirasai sejak tahun lepas lagi. Sebelum ini, ia hangat diperkatakan sewaktu musim perayaan sahaja, tetapi sekarang ini ia berlaku di luar musim perayaan.

"Kerisauan kita adalah harga ayam akan menjadi semakin mahal sekiranya tiada tindakan tuntas daripada pihak kerajaan untuk menyelesaikannya," katanya yang juga Presiden Majlis Belia Negeri (MBN) Perak.

Perak antara negeri pengeluar ayam terbesar di negara dan dalam daerah Manjung sahaja, terdapat 151 ladang yang memiliki 978 reban menyumbang kepada tujuh peratus pengeluaran ayam negara dan 33 peratus ayam negeri.