Sudah sampai masa sekolah dibuka semula

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

IBU bapa kini mungkin boleh menarik nafas lega selepas kerajaan melancarkan program Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja pada Isnin.

Dengan pemberian vaksin kepada pelajar, ini bermakna sudah sampai masanya untuk sekolah kembali dibuka kepada semua golongan murid dan tidak terhad kepada yang menduduki peperiksaan awam.

Malah PICK Remaja dilihat seakan menjawab kerisauan yang bermain di fikiran ibu bapa mengenai keselamatan anak mereka apabila sekolah kembali dibuka secara berperingkat mulai 3 Oktober ini

Program yang khusus untuk pelajar sekolah itu menyasarkan 60 peratus remaja lingkungan usia 12 hingga 18 tahun mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin menjelang November ini, manakala 80 peratus mendapat dos lengkap sebelum sekolah dibuka pada sesi 2022.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, keutamaan PICK Remaja itu akan diberikan kepada 1.1 juta remaja berumur 16 dan 17 tahun yang akan menduduki peperiksaan awam serta remaja dengan komorbid.

Menurutnya, pengecualian hanya akan diberikan kepada remaja yang disahkan oleh doktor mempunyai sebab-sebab tertentu, seperti masalah kesihatan atau alahan terhadap vaksin

Kesemua mereka akan menerima vaksin Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech yang telah mendapat kelulusan berstatus pendaftaran bersyarat oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), sementara Sinovac sedang menunggu kelulusan.

Dua jenis vaksin tersebut dilihat sesuai untuk diberikan pada golongan kanak-kanak berikutan data mengenai kesan sampingan yang rendah.

Artikel Berkaitan:

Apa yang pasti PICK Remaja ini bukan sekadar menjawab kerisauan ibu bapa terhadap keselamatan anak mereka, malah merupakan satu berita gembira kepada pelajar dan guru-guru.

Perkara tersebut boleh dilihat apabila golongan pelajar dan guru melahirkan rasa syukur dan gembira di media sosial sejurus selepas pengumuman pelancaran program tersebut.

Malah ada juga pelajar seolah tidak sabar untuk menerima vaksin Covid-19 bagi melindungi diri serta untuk kembali ke sekolah dengan lebih selamat.

Diharapkan pemberian vaksin kepada golongan pelajar ini dapat membantu mempercepatkan sesi persekolahan secara bersemuka untuk diadakan.

Ia kerana kelewatan untuk mengadakan sesi persekolahan secara bersemuka dikhuatiri bukan sahaja memberi kesan negatif kepada pendidikan pelajar itu sendiri malah akan mengganggu situasi sosial mereka.