Konsep Comsec langkaui aspek kepolisian, ketenteraan

Rodzi (kanan) ketika dalam program Bicara naratif secara dalam talian pada Isnin.
Rodzi (kanan) ketika dalam program Bicara naratif secara dalam talian pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Keselamatan menyeluruh atau ‘Comprehensive Security’ (Comsec) merupakan konsep yang melihat maksud keselamatan itu melangkaui aspek kepolisian atau ketenteraan semata-mata.

Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md Saad berkata, konsepnya jauh lebih luas, menyeluruh serta memerlukan pendekatan masyarakat sebagai input dalam menjaga keselamatan dan kemakmuran negara.

“Semua komponen kehidupan berkait dengan keselamatan negara, umpamanya kalau kita melihat keselamatan (dari segi) bagaimana pengalaman kita dalam menangani pandemik Covid-19.

“Jika kita tidak uruskan dengan baik, pandemik ini boleh menjejaskan struktur rakyat Malaysia dari segi populasinya,” katanya dalam program Bicara Naratif secara dalam talian pada Isnin.

Mengulas lanjut, Rodzi berkata, tanggungjawab menjaga keselamatan negara pada masa kini tidak lagi boleh didominasi oleh kerajaan sahaja.

Menurutnya, penglibatan masyarakat memainkan peranan penting kerana mereka merupakan benteng akhir dalam mendepani ancaman-ancaman negara.

“Jadi saya lihat usaha untuk membentuk kesedaran dan ketahanan rakyat merupakan satu perkara yang sangat penting ketika ini kerana dengan strategi rakyat yang berdaya tahan ini, kita akan mampu menghadapi cabaran biarpun cabaran itu sebagaimana besar.

Artikel Berkaitan:

Rodzi
Rodzi

“Rakyat adalah benteng akhir keselamatan negara dan di situ kita yakin apabila kita boleh membentuk keadaan ini, kita akan lebih yakin dengan keselamatan masa depan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, keselamatan siber juga merupakan salah satu teras penting dalam aspek memelihara keselamatan negara.

“Ancaman digital ini adalah satu bentuk ancaman moden ketika ini.

“Oleh itu, corak perhubungan melalui siber ini adalah satu instrument baru dan ia juga terdedah dengan pelbagai ancaman seperti pencerobohan maklumat dan sebagainya,” ujarnya.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan mempunyai sistem pertahanan siber yang berkebolehan dalam mendepani ancaman-ancaman digital tersebut.

Jelasnya, kebolehan dan keupayaan negara dalam menangani dan menguruskan ancaman siber turut diiktiraf serta dijadikan contoh oleh negara-negara luar.

“Pengalaman, pengetahuan dan kepakaran kita sebenarnya setara dengan negara-negara maju yang lain.

“Dalam peringkat antara Asia umpamanya, kita saling bertukar hubungan, pandangan atau pengalaman malah input-input Malaysia juga diminta oleh negara-negara lain seperti Singapura dalam menguruskan ancaman siber di negara mereka.

“Jadi kebolehan dan keupayaan Malaysia dalam menangani serta mengurus ancaman siber ini sebenarnya diiktiraf dan dijadikan contoh oleh negara luar dalam mengambil model pengurusan kita untuk meningkatkan pertahanan siber di negara mereka seperti mana di Eropah, Asia dan negara-negara lain di dunia ini,” jelasnya.