Syabas PDRM Kontinjen Kelantan!

A
A
A

MASYARAKAT yang progresif ialah masyarakat yang sentiasa cintakan keamanan. Tiada manusia yang waras dan beriman yang suka jenayah dan sikap membenci jenayah amat diperlukan dalam masyarakat kita bagi mewujudkan persekitaran yang aman dan selamat.

Walaupun pihak polis dan agensi keselamatan yang lain sentiasa berusaha memastikan kita hidup dalam persekitaran yang selamat, tanggungjawab mencegah jenayah tidak seharusnya digalas pihak berkuasa semata-mata.

Setiap anggota masyarakat perlu memainkan peranan masing-masing dalam membantu pihak berkuasa mencegah jenayah, antaranya melalui penyertaan dalam komuniti kepolisan atau Skim Rondaan Sukarela (SRS) yang diwujudkan di sesetengah taman perumahan.

Jika di kawasan perumahan elit, mungkin warganya boleh membayar upah pekerja keselamatan bagi mengawasi persekitaran perumahan mereka, di samping mewujudkan peralatan keselamatan yang lain. Bagi golongan orang kebanyakan pula, boleh diwujudkan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dengan melakukan rondaan sukarela secara bergilir.

Jika tidak mempunyai masa untuk turut serta dalam aktiviti komuniti, sekurang-kurangnya boleh menjadi penyalur maklumat dalam membantu usaha pihak polis mencegah jenayah.

Dengan kepesatan teknologi hari ini, amat mudah untuk menyalurkan apa jua maklumat kepada pihak polis. Tidak perlu hadir ke Balai Polis atau mengisi borang dan sebagainya. Orang ramai boleh menggunakan aplikasi “Volunteer Smartphone Patrol (VSP)” yang telah pun dilancarkan oleh PDRM pada 2017. Saya yakin sudah ramai yang tahu tentang aplikasi ini.

Aplikasi VSP adalah hasil penambahbaikan sistem Rakan Cop yang terdahulu. Kini, segala maklumat, gambar dan video boleh dihantar menggunakan aplikasi VSP ini. Selain itu, anggota masyarakat juga boleh menyampaikan maklumat melalui panggilan terus ke ibu pejabat polis kontinjen negeri masing-masing yang dipantau 24 jam oleh pusat kawalan. Untuk IPK Kelantan, nombor telefonnya adalah 09-7540999 atau boleh juga dail 999.

Baru-baru ini, pihak PDRM Kontinjen Kelantan telah melancarkan program Satu Masjid Satu Polis (1M1P) di Masjid Al-Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian, Kelantan.

Artikel Berkaitan:

Program yang telah dilancarkan oleh Ketua Polis Kelantan, DCP Datuk Hasanuddin Hassan, itu turut dihadiri Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik), Dr Nik Mohd Azlan Abd Hadi. Saya mengagumi kesungguhan Datuk KP Kelantan yang ingin menjadikan negeri Kelantan “sifar jenayah”.

Memang tidak mudah tetapi tidak juga mustahil jika mendapat kerjasama semua pihak. Syabas kepada seluruh warga PDRM Kontinjen Kelantan yang tekad berikrar akan bekerja keras bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan masyarakat dengan kerjasama semua pihak.

Tahniah juga kepada pihak MAIK yang turut sama mengambil berat kesejahteraan masyarakat sekeliling dengan menggerakkan jemaah serta ahli jawatankuasa masjid agar memberi kerjasama kepada pihak PDRM dalam usaha mencegah jenayah

Jenayah berlaku kerana tiada iman di dada. Jika setiap manusia mempunyai perasaan takut kepada Tuhan yang Maha Kuasa dan Maha Melihat, saya percaya kadar jenayah pasti akan turun dengan mendadak. Jika tidak mendapat balasan di dunia sekalipun, pertimbangan dan pembalasan di akhirat kelak sudah pasti.

Kesungguhan PDRM Kontinjen Kelantan dalam usaha mencegah jenayah dibuktikan dengan penurunan 533 kes jenayah (11.8 peratus) bagi tempoh Januari hingga Disember 2018 jika dibandingkan dengan tempoh yang sama bagi 2017; 3,987 kes direkodkan pada tahun 2018 berbanding 4,520 kes yang dilaporkan pada tahun 2017.

Bagi tempoh kajian yang sama, jenayah kekerasan didapati menurun sebanyak 89 kes manakala jenayah harta benda menurun sebanyak 444 kes.

Sesungguhnya, kerjasama semua anggota masyarakat amat diperlukan dalam menghadapi cabaran jenayah sekarang ini yang juga semakin canggih seiring dengan perkembangan teknologi semasa. Tidak perlulah untuk kita berdebat dan menuding jari ke arah mana-mana pihak jika berlakunya sesuatu jenayah. Sebaliknya, kita harus duduk semeja dan bersama-sama membantu pihak polis dalam membanteras jenayah di negara kita ini.

Sekali lagi, sekalung tahniah dan terima kasih kepada pihak PDRM Kontinjen Kelantan yang sentiasa berusaha untuk memastikan rakyat Kelantan dapat hidup dalam persekitaran yang selamat. Polis dan masyarakat berpisah tiada.

*Johari Yap ialah Pengerusi Macma Kelantan dan AJK Perkim Kelantan