X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 18 Oktober 2021

Ratusan kediaman musnah akibat letusan gunung berapi

Letusan gunung berapi pertama Kepulauan Canary di Sepanyol dalam tempoh 50 tahun telah memaksa pemindahan 5,500 penduduk dan memusnahkan kira-kira 100 kediaman tetapi alirannya tidak sepantas yang diramalkan. - Foto Xinhua
A
A

KEPULAUAN CANARY - Lava yang mengalir daripada letusan gunung berapi pertama Kepulauan Canary di Sepanyol dalam tempoh 50 tahun telah memaksa pemindahan 5,500 penduduk dan memusnahkan kira-kira 100 kediaman tetapi alirannya tidak sepantas yang diramalkan, kata pihak berkuasa pada Isnin.

Aliran lava tidak sampai ke Lautan Atlantik pada Isnin petang seperti yang dianggarkan sebelumnya, kata seorang pegawai.

Pakar mengatakan bahawa jika berlaku, ia boleh mencetuskan lebih banyak letupan dan gas beracun.

Tiada kematian atau kecederaan yang dilaporkan setakat ini tetapi rakaman dron memaparkan dua aliran kepala lava hitam melalui lereng menuju ke laut.

Seorang saksi memberitau Reuters, dia melihat aliran lava mengalir melalui sebuah rumah di kampung Los Campitos, memusnahkannya sedikit demi sedikit.

Enam jalan di pulau itu ditutup, kata pihak berkuasa.

Pemimpin wilayah, Angel Victor Torres memaklumkan kerugian harta benda sangat besar.

"Ia masih aktif dan akan terus aktif untuk beberapa hari lagi," tambahnya.

"Ia mengerikan, seperti gempa bumi. Kemudian pada pukul 3 petang, seorang wanita memberitahu kami perlu segera meninggalkan tempat itu," kata Eva, seorang pelancong berusia 53 tahun dari Austria.

Menteri Pelancongan, Reyes Maroto mengatakan letusan itu adalah 'pertunjukan luar biasa' dan akan menarik lebih banyak pelancong ke kepulauan berkenaan yang bergantung kepada industri pelancongan.

Sebilangan pelancong di lapangan terbang tidak bersetuju dengan Maroto.

"Kami mahu beredar secepat mungkin," kata Wienard, seorang pekerja sosial berusia 55 tahun dari Salzburg.

Tetapi sekurang-kurangnya seorang pelancong gembira dengan situasi itu.

"Saya merasa seperti anak kecil, sangat teruja. Semalam hari jadi saya, ini seolah-olah meniup lilin di atas kek yang sangat besar!" kata Kabirly, 26, penyelidik pasaran dari Belgium.

Kira-kira 360 pelancong dipindahkan daripada sebuah resort di La Palma dan dibawa ke Pulau Tenerife pada awal pagi Isnin.

Perdana Menteri Pedro Sanchez turut mengunjungi beberapa kawasan yang terjejas pada Isnin.

La Palma berada dalam keadaan berjaga-jaga susulan ribuan gegaran dilaporkan selama seminggu di Cumbre Vieja.

Ia sebahagian rantaian gunung berapi yang kali terakhir meletus pada tahun 1971 dan merupakan salah satu kawasan gunung berapi yang paling aktif di Kepulauan Canary. - Awani


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!