Sinar harapan kerjasama kerajaan, pembangkang

Ismail Sabri (tengah) ketika sesi Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik di antara kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan di Bangunan Parlimen pada Selasa. - Foto Bernama
Ismail Sabri (tengah) ketika sesi Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik di antara kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan di Bangunan Parlimen pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

MEMORANDUM Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik.

Itulah perjanjian persefahaman yang akhirnya menamatkan pertelingkahan antara pihak kerajaan dan pembangkang buat seketika.

Seperti yang dikatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, perjanjian persefahaman itu mampu membentuk satu kerjasama ‘dwi-partisan’ yang ampuh dan mantap.

Masanya sudah tiba untuk semua pemimpin politik di negara kita kembali berdamai dengan melupakan kepentingan politik masing-masing.

Segala bentuk usaha pembangunan serta pembaharuan yang dirancang mesti perlu mendahului kepentingan rakyat.

Sejak tiga tahun yang lalu, rakyat jelata telah muak melalui detik-detik kurang menyenangkan apabila politik negara dalam kedudukan yang goyah.

Pergolakan yang berlaku secara berterusan sehingga menyaksikan pertukaran tiga Perdana Menteri dalam tempoh yang begitu singkat itu membuktikan permusuhan antara kerajaan dan pembangkang sesungguhnya perlu ditamatkan dengan segera.

Nescaya segala persengketaan tanpa jalan penyelesaian itu tidak akan menguntungkan rakyat.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, kita seharusnya memuji pihak kerajaan dan pembangkang mahu kembali ke meja rundingan sehingga berjaya memeterai memorandum perdamaian berkenaan.

Negara perlu melakukan agenda transformasi dengan segera sama ada dari segi pemulihan ekonomi negara, meningkatkan keupayaan membendung Covid-19 serta menambah peluang pekerjaan dan pendapatan rakyat.

Dengan mengetepikan perbezaan politik, kita yakin semua rancangan pembaharuan yang terkandung dalam memorandum tersebut seperti Pemerkasaan Pelan Covid-19; Transformasi Pentadbiran; Pembaharuan Parlimen; Kebebasan Institusi Kehakiman; Perjanjian Malaysia MA63; dan Pembentukan Jawatankuasa Pemandu bakal membuka lembaran baharu negara yang menegakkan sistem demokrasi berparlimen.

Harapan rakyat agar suasana negara selepas ini akan menjadi lebih tenang dan lebih penting, semua ahli politik boleh menumpukan lebih masa mengutamakan kebajikan rakyat.