Taman perumahan jadi laluan keluar masuk ke tapak projek

Aswan (kiri) dan Omar menunjukkan jalan Taman Keriang Pantai, Alor Setar pada Isnin yang dijadikan sebagai jalan keluar masuk lori tanah ke Projek Klinik kesihatan (Jenis 3) Dengan Kuarters.
Aswan (kiri) dan Omar menunjukkan jalan Taman Keriang Pantai, Alor Setar pada Isnin yang dijadikan sebagai jalan keluar masuk lori tanah ke Projek Klinik kesihatan (Jenis 3) Dengan Kuarters.
A
A
A

ALOR SETAR - Penduduk Taman Keriang Pantai di sini memohon pihak berkenaan supaya membina laluan baharu untuk keluar masuk ke kawasan Projek Klinik Kesihatan (Jenis 3) Dengan Kuarters di Langgar dekat sini.

Pengerusi Badan Bertindak Taman Keriang Pantai, Aswan Abdullah berkata, pembinaan projek tersebut yang mengambil masa selama dua tahun dijangka akan mengganggu penduduk di taman perumahan berkenaan termasuk empat taman perumahan di sekitarnya.

Beliau berkata, laluan utama di dalam taman tersebut telah dijadikan laluan keluar masuk lori-lori ke tapak projek terbabit sejak Ogos lalu.

"Jalan utama di dalam taman perumahan ini sudah dikotori dengan tanah. Ia berikutan kerja-kerja membuang tanah dari tapak projek berkenaan. Laluan ini tidak dibersihkan dan jika dilakukan pun, pihak berkenaan masih cuai.

"Jika mereka terus menggunakan laluan ini, lori-lori berat termasuk lori-lori tanah akan merosakkan jalan utama dalam taman perumahan ini," katanya ditemui pemberita di Taman Keriang Pantai di sini pada Isnin.

Aswan Abdullah
Aswan Abdullah

Aswan berkata, pihaknya juga berharap cadangan mereka agar projek itu menggunakan laluan alternatif dapat dipertimbangkan semasa sesi penerangan pihak berwajib, kontraktor bersama wakil penduduk Taman Keriang Pantai, Taman Sri Kota, Taman Malinja, Taman Malinja Fasa 2 dan Taman Malinja Fasa 3 pada Isnin.

Menurutnya, penduduk di sekitar kawasan tersebut tidak menolak pembangunan, namun kebajikan dan ketenteraman mereka juga perlu diutamakan sepanjang projek pembangunan dijalankan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, seorang penduduk Taman Keriang Pantai, Omar Ismail, 66, berkata, laluan alternatif yang dicadangkan mampu mengurangkan kesesakan pada jalan taman perumahan berkenaan terutama ketika waktu puncak.

"Sekarang ini sekolah belum dibuka sebab Covid-19. Bila sudah dibuka nanti, akan berlaku kesesakan kerana terdapat sebuah sekolah kira-kira 100 meter di laluan utama sebelum masuk ke taman ini. Tiga lagi sekolah terletak kira-kira satu kilometer dari tempat ini," katanya.

Bagi penduduk dari Taman Sri Kota, Abdullah Arshad, 64, pula, dia berharap pembinaan projek tersebut tidak mendatangkan masalah seperti banjir kilat.

Menurutnya, pihak berkaitan juga perlu memastikan saluran dan longkang berfungsi dengan baik bagi mengelakkan kejadian banjir kilat berlaku.

"Sebelum ini, kawasan Taman Sri Kota sering berlaku banjir kilat disebabkan oleh masalah perparitan. Kami berharap perkara-perkara seperti ini dapat diutamakan pihak berkaitan bagi mengelakkan kejadian banjir kilat lebih teruk apabila projek ini berjalan," katanya.

Lori-lori yang membawa muatan tanah keluar dari tapak projek melalui Jalan Taman Keriang Pantai, Langgar, Alor Setar baru-baru ini. - Foto ihsan penduduk Taman Keriang Pantai
Lori-lori yang membawa muatan tanah keluar dari tapak projek melalui Jalan Taman Keriang Pantai, Langgar, Alor Setar baru-baru ini. - Foto ihsan penduduk Taman Keriang Pantai

Dalam pada itu, pegawai khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Pinang, Mohd Firdaus Salleh berkata, sesi penerangan diadakan oleh pihak berwajib pada Isnin bersama wakil setempat bagi mendengar sendiri masalah dihadapi penduduk.

"Pihak berwajib mengambil maklum dengan perkara-perkara ini dan mereka sedang mengusahakan (laluan alternatif) sekiranya ia boleh dibuat," jelasnya.