X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 18 Oktober 2021

Baja ‘Rajin Sebendang’ bantu pesawah tingkatkan hasil

Baja dalam bentuk cecair ini telah terjual lebih 1,500 botol dengan harga RM55 seliter sejak diperkenalkan di pasaran pada April lalu.
A
A

KUALA PERLIS - Syarikat Grovasi Solutions iaitu anak syarikat di bawah Dibuk Sdn. Bhd mengeluarkan baja silika �Rajin Sebendang’ sebagai usaha meningkatkan hasil pesawah setiap kali musim menuai.

Pengarah Urusan Grovasi Solutions, Ezreen Muhaizie Marzukhi berkata, baja berkenaan yang dihasilkan daripada sekam padi turut membantu menyelesaikan isu lambakan sisa buangan tersebut.

Katanya, sekam padi sebenarnya adalah antara bahan organik yang tinggi kandungan silika, namun kos untuk mengekstraknya agak mahal.

“Walau bagaimanapun berbekalkan minat yang tinggi, saya tekad untuk membuat kajian yang lebih mendalam dengan gabungan kepakaran bersama Dr. Firdaus Yusof.

“Selepas beliau tamat pengajian peringkat Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) saya menawarkan beliau bekerja bersama saya khusus untuk membangunkan produk silika ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Ezreen Muhaizie berjaya menemui cara terbaik untuk mengekstrak silika menjadi baja pertanian pada kos yang kompetetif
Ezreen Muhaizie berjaya menemui cara terbaik untuk mengekstrak silika menjadi baja pertanian pada kos yang kompetetif

Ezreen Muhaizie berkata, selama lebih dua tahun penyelidikan dijalankan, akhirnya mereka berjaya menemui cara terbaik untuk mengekstrak silika menjadi baja pertanian pada kos yang kompetetif.

“Setakat ini ia telah terjual lebih 1,500 botol dengan harga RM55 seliter sejak diperkenalkan di pasaran pada April lalu.

“Jualan ini adalah secara mulut ke mulut dalam kalangan pesawah selain turut dijual secara dalam talian di Shoppe.

“Alhamdulillah, ia satu kejayaan untuk saya kerana selain dapat membantu pesawah, saya juga dapat menangani lambakan sekam padi yang memakan kos untuk dilupuskan,” katanya.

Baja silika membantu membina fizikal pokok yang lebih sihat dan kuat kerana kandungan silika yang mencapai 48 peratus.
Baja silika membantu membina fizikal pokok yang lebih sihat dan kuat kerana kandungan silika yang mencapai 48 peratus.

Ezreen Muhaizie menambah, kelebihan baja terbabit adalah ia mengandungi ion silika sebanyak 48 peratus, iaitu yang tertinggi dalam pasaran dalam bentuk cecair selain 52 peratus Potassium.

“Sebelum ini baja silika dalam bentuk cecair tidak banyak dalam pasaran, dan produk silika sedia ada lebih mahal jika dibandingkan dengan kandungan silika yang jauh lebih rendah.

“Baja kami adalah produk silika cecair pertama dikeluarkan oleh syarikat tempatan dan keluaran 100 peratus bumiputera.

“Lebih menarik lagi baja silika keluaran kami dihasilkan daripada bahan organik dan bukannya daripada sumber mineral dan bahan buangan industri berat,” katanya.

Menurutnya, kajian yang dijalankan membuktikan unsur silika mempunyai potensi besar digunakan dalam tanaman padi bagi meningkatkan hasil tuaian.

“Unsur silika adalah penting dalam membina fizikal pokok yang lebih sihat dan kuat, kerana ia mampu untuk membentuk batang yang lebih kuat dan anjal selain daun yang lebih tegak dan berduri seperti serai.

Antara pesawah yang menggunakan baja Rajin Sebendang keluaran Syarikat Grovasi Solutions untuk penanaman padi mereka pada musim ini.
Antara pesawah yang menggunakan baja Rajin Sebendang keluaran Syarikat Grovasi Solutions untuk penanaman padi mereka pada musim ini.

“Sifat-sifat fizikal ini mampu membantu pokok padi untuk lebih tahan kepada penyakit bawaan bakteria dan kulat, selain dapat membantu mengurangkan risiko padi rebah.

“Malah unsur silika juga mampu untuk memberi daya tahan kepada tekanan haba ketika musim kemarau,” katanya.

Lebih menarik beliau berkata, baja itu sesuai digunakan bersama semua jenis racun kecuali racun rumpai, justeru mampu menjimatkan kos upah semburan.

Beliau juga bersyukur apabila penjualan baja mendapat sambutan di Yan dan Pendang, Kedah.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!