'Wang bayar yuran pendaftaran belum cukup'

Nurul Mizani (kanan) bersama ibunya, Nur Sairah menunjukkan tawaran melanjutkan pengajian program Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab dan Komunikasi di USIM.
Nurul Mizani (kanan) bersama ibunya, Nur Sairah menunjukkan tawaran melanjutkan pengajian program Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab dan Komunikasi di USIM.
A
A
A

KUALA NERANG - Seorang gadis bekas pesakit kanser darah gembira apabila ditawarkan menyambung pengajian di universiti, namun dia mungkin terpaksa melupakan hasratnya itu ekoran tidak mempunyai wang mencukupi untuk membayar yuran pendaftaran.

Nurul Mizani Sofian,19, dari Kampung Sireh, Mukim Tekai Kiri, dekat sini ditawarkan mengikuti program Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab dan Komunikasi di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan pada 16 September lalu.

Menurutnya, dia perlu menjelaskan yuran pendaftaran hampir RM3,000 sebelum 5 Oktober ini jika mahu menjejak langkah ke menara gading seperti kakak sulungnya yang kini belajar di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

"Saya memang sangat gembira apabila mendapat tawaran belajar ini namun apabila mengenangkan kekangan kewangan yang dihadapi keluarga terutama bapa, Sofian Saaid, 50, yang hanya berpendapatan RM1,600 sebulan, saya risau tidak dapat membayar yuran pendaftaran.

"Gaji bulanan ayah yang bekerja sebagai pemandu bas digunakan untuk keperluan kami sekeluarga termasuk membiayai pengajian kakak sulung di UKM. Ibu saya, Nur Sairah Idris, 44, pula hanya suri rumah," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Mengulas lanjut, Nurul Mizani tidak mahu terus membebankan bapanya yang banyak berkorban membiayai perubatannya termasuk lapan sesi kimoterapi sejak dia disahkan menghidap kanser darah pada pada 2016.

Menurutnya, biarpun disahkan telah bebas daripada penyakit itu pada 2019, namun dia masih perlu berjumpa dengan doktor pakar setiap tiga bulan sekali di Hospital Pulau Pinang.

"Bapa juga kini perlu membayar wang pinjaman sebanyak RM400 sebulan kepada sebuah bank selepas membuat pinjaman bagi membiayai pengajian kakak saya pada 2019. Selain itu, bapa juga perlu beri perhatian kepada seorang lagi adik saya berusia 12 tahun yang masih lagi bersekolah," ujarnya,

Artikel Berkaitan:

Jelas Nurul Mizani, dia berharap dapat mengumpul duit dan membayar yuran pengajiannya secepat mungkin sebelum tarikh tutup tamat.

"Bagi semester satu ini, USIM memberikan kelonggaran kepada pelajar tahun satu untuk belajar secara dalam talian di rumah jika tidak mahu tinggal di asrama lagi. Saya pilih belajar di rumah dahulu kerana bayaran lebih murah iaitu kira-kira RM2,000 sahaja berbanding tinggal di asrama kerana perlu membayar hampir RM3,000.

"Lagipun, banyak lagi kelengkapan belum dibeli termasuk komputer riba yang menjadi keperluan. Jika mahu beli barang-barang kelengkapan ini sekali gus memang perlukan banyak duit dan kami tidak mampu," katanya lagi.

Bagi mereka yang mahu membantu, boleh menghubungi Nurul Mizani menerusi nombor telefon 0195095052 atau menyumbang di nombor akaun Agro Bank milik ibunya Nur Sairah Idris (2005061000158790).