X

Kindly register in order to view this article
!

Rakyat kalah di Semenyih

A
A

KALAU rakyat sebagai bangsa Malaysia benar-benar ingin membangunkan bangsa Malaysia sehingga menjadi superpower dunia, soalan pertama mereka perlu tanya ialah: “Siapakah pesaing superpower kita di persada global?”
Kalau pesaing kita sekadar Pas, maka kita lebih memikirkan masalah menutup keaiban parti melalui “bohong sunat”, selain daripada berdemonstrasi di jalanan dan isu hudud.
Kalau pesaing kita sekadar BN, kita akan lebih memikirkan masalah 1MDB dan komen-komen pedas raja troll. Kalau pesaing kita sekadar PH, maka kita akan lebih memikirkan bagaimana boleh kalah di Semenyih.
Adakah kalau bangsa Malaysia hanya mengutamakan semua isu ini, kita akan menjadi superpower dunia? Sudah tentu tidak kerana semua isu ini adalah lokal, isu percakaran sesama sendiri. Pesaing-pesaing global kita pasti seronok menjadi penonton kepada perlawanan ini.
Kemenangan BN di Semenyih adalah kekalahan majoriti rakyat untuk berfikir luar dari kotak kepartian. Kalau rakyat tidak puas hati dengan PH kerana gagal atau lambat menunaikan janji-janji manifesto, maka apakah mesej yang rakyat ingin sampaikan dengan mengundi BN?
Dengan mengundi BN, rakyat bukan sekadar bagi mesej ketidakpuasan hati terhadap PH, tetapi juga mesej negatif. Rakyat sokong raja troll? Rakyat sokong rasuah berbilion-bilion? Rakyat sokong pembohongan atas nama agama?
Kalau rakyat mengundi PH, kerajaan PH mungkin akan lalai bermuhasabah diri dan mungkin akan terus bergelumang dengan slogan-slogan kosong tentang Malaysia Baharu, kebebasan bersuara, ketelusan, hak-hak asasi kemanusiaan tanpa pelaksanaan yang efisien dan realistik.
Nabi SAW kalah di Perang Uhud, tetapi kekalahan Nabi di Uhud terselit kemenangan sejati yang akan datang. Tentera Muslimin tersedar bahawa punca kekalahan Uhud adalah sikap mementingkan kebendaan yang berlebihan. Mereka bukan lupa langsung agama tetapi “ter-over” beri perhatian kepada kebendaan.
Ada hikmahnya bila rakyat tidak mengundi PH. Bahkan kekalahan PH di Semenyih akan bertukar menjadi kemenangan yang jauh lebih besar lagi dari PRU14 “jika dan kalau” PH fokus pada pendidikan rakyat dalam masa empat tahun ini. Pendidikan rakyat bukan sekadar terletak pada bahu Kementerian Pendidikan sahaja. Perlu gerakkan semua kementerian untuk mendidik rakyat secara berleluasa.
Timbul pula persoalan mendidik ke arah mana? Kita ambil contoh PRK Semenyih. Bagi penulis, rakyat terperangkap dalam politik kepartian. Rakyat tidak keluar dari kotak sama ada memilih parti BN atau p yang bertanding sebagai seorang individu yang telah terkenal banyak usaha kebajikan? Bila rakyat memilih Uncle Kentang, ia menyampaikan sekurang-kurangnya dua mesej.
Mesej yang pertama ialah rakyat mengutamakan usaha individu. Rakyat nak wakil rakyat yang bekerja untuk mereka. Rakyat sedar bahawa ada wakil rakyat yang berselindung di belakang bendera parti. Dia sebenarnya malas bekerja dan tidak kreatif. Rakyat melihat!
Mesej yang kedua, rakyat ingin memberi pengajaran kepada kedua-dua parti BN dan PH untuk mengubah cara kerja. Jangan ingat rakyat akan taasub kepada “parti mainstream”. Bahkan rakyat mungkin tidak teragak-agak untuk memilih calon bebas hatta untuk buang presiden sebuah parti mainstream walaupun parti berkenaan mungkin menang PRU! Jangan ingat selamat duduk dalam sebuah parti mainstream! Presiden parti pun tak selamat!
Secara keseluruhan, rakyat perlu dididik untuk mengenali pesaing superpower mereka. Kalau Israel adalah pesaing kita, maka tidak matang kalau hanya berdemonstrasi jalanan melaungkan slogan “Mati Israel” atau memijak bendera Israel sedangkan kita masih guna Waze yang berpusat di Tel Aviv, Israel!
Kita juga kurang matang kalau hanya boikot barangan Israel. Adakah kita akan boikot Waze, Google dan Intel? Untuk menang dalam persaingan dengan superpower memerlukan semua parti meletakkan perbezaan mereka ke tepi dulu demi negara.
Rakyat di Semenyih gagal memberi mesej tegas bahawa walaupun berbeza pendapat tentang politik lokal, tetapi BN, Pas dan PH perlu bersatu demi lawan pesaing global iaitu Israel, China dan Amerika. Malaysia perlu menjadi superpower untuk benar-benar MERDEKA.
* Abdul Naser Tun Rahman Tokoh Pendakwah perak


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!