Muzium jadi tumpuan selepas rentas daerah dibenarkan

Kelihatan pengunjung melihat pameran di Muzium Diraja Istana Lama Seri Menanti.
Kelihatan pengunjung melihat pameran di Muzium Diraja Istana Lama Seri Menanti.
A
A
A

KUALA PILAH - Lima muzium di bawah kelolaan Lembaga Muzium Negeri Sembilan (LMNS) menerima kehadiran pengunjung luar biasa selepas mula dibuka sejak seminggu lalu.

Muzium terbabit adalah Muzium Negeri, Seremban; Teratak Za'ba, Batu Kikir, Jempol; Muzium Rembau (Astana Raja Rembau), Kota; Kompleks Megalith, Pengkalan Kempas, Port Dickson dan Muzium Diraja Istana Lama Seri Menanti, Kuala Pilah

Pengarah LMMS, Drs Shamsuddin Ahmad berkata, Muzium Diraja Istana Lama Seri Menanti merupakan muzium yang menerima jumlah pengunjung paling ramai iaitu 1,000 orang dalam tempoh seminggu.

"Saya boleh katakan muzium kini menjadi antara lokasi pilihan pengunjung selepas aktiviti merentas daerah dibenarkan kerana ramai yang nak ambil peluang keluar rumah.

"Meraka mencari lokasi yang boleh dikunjungi bersama sesi keluarga di dalam negeri masing-masing selain pergi ke kawasan air terjun, pantai atau melakukan aktiviti mendaki," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Menurutnya, semua muzium dibuka setiap hari melainkan hari Isnin bermula jam 10 pagi hingga 5 petang.

Ujarnya, beberapa prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan perlu dipatuhi pengunjung sebelum dibenarkan masuk ke dalam kompleks muzium.

"Ada yang pagi-pagi sudah menunggu untuk masuk dan mereka akan berada dalam tempoh lama untuk melawat sekitar muzium.

Artikel Berkaitan:

"Bagi saya ia satu perkembangan positif dan kami sedang berusaha mempelbagaikan produk yang ada supaya pengunjung lebih seronok berada di dalam muzium," katanya.

Sementara itu tinjauan Sinar Harian di Muzium Diraja Istana Lama Seri Menanti mendapati ramai yang mengambil kesempatan membawa sesi keluarga ke muzium berkenaan termasuk seorang warga emas, Rohah Kisut, 77.

Rohah(dua kiri) bersama ahli keluarganya melawat Muzium Diraja Istana Lama Seri Menanti.
Rohah(dua kiri) bersama ahli keluarganya melawat Muzium Diraja Istana Lama Seri Menanti.

Beliau yang tinggal di daerah Rembau, datang kali pertama ke situ bersama anak serta cucu termasuk cicitnya.

"Biasanya tengok bangunan muzium ini dari luar saja. Tapi apabila cucu ajak berjalan ke sini, seronok juga kerana kami dah lama terperap di rumah," katanya.