Ibu ayah jangan takut hantar anak ke sekolah

Penerima vaksin yang juga pelajar sekolah menunggu di ruang pemantauan selepas menerima suntikan vaksin Covid-19 jenis Pfizer BioNTech dalam PICK Remaja terhadap kumpulan remaja berusia 12 hingga 17 tahun bermula pada Isnin. Foto Bernama
Penerima vaksin yang juga pelajar sekolah menunggu di ruang pemantauan selepas menerima suntikan vaksin Covid-19 jenis Pfizer BioNTech dalam PICK Remaja terhadap kumpulan remaja berusia 12 hingga 17 tahun bermula pada Isnin. Foto Bernama
A
A
A

BERMULA 3 Oktober ini, kerajaan memutuskan untuk membuka semula sesi persekolahan secara berperingkat mengikut Fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan kapasiti 50 peratus murid secara penggiliran mingguan bagi pembelajaran bersemuka.

Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin ketika membuat pengumuman itu pada 12 September lalu juga memberitahu kelas secara fizikal itu hanya melibatkan negeri di bawah fasa tiga dan empat PPN, manakala negeri fasa satu dan dua, sesi persekolahan kekal ditutup kecuali bagi pelajar yang akan menduduki peperiksaan utama.

Penulis pasti ramai ibu bapa agak terkejut dengan pengumuman ini memandangkan angka jangkitan Covid-19 di negara kita masih tinggi, namun perlu diingat pembukaan semula sekolah dibuat bagi mengelak pelajar daripada terus renggang dengan sistem persekolahan selepas ditutup sejak Mei lalu akibat penularan wabak Covid-19.

Bagi penulis, ibu bapa tidak perlu gusar kerana pada sesi persekolahan nanti kerajaan mewajibkan pemakaian pelitup muka ketika sesi persekolahan selain pematuhan SOP lain yang ditetapkan.

Malah bagi mengelak tercetus kluster sekolah seperti yang berlaku sebelum ini, kerajaan juga memastikan guru dan kakitangan sokongan yang bertugas dalam sekolah pada satu-satu masa divaksin sepenuhnya.

Lebih meyakinkan lagi apabila kerajaan juga memberi suntikan vaksin Covid-19 kepada remaja berusia 12 hingga 17 tahun di negara ini khususnya pelajar sekolah bermula Isnin.

Menurut Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, langkah itu sebagai persediaan terutama bagi sekolah di kawasan luar bandar supaya 80 peratus kadar vaksinasi remaja dapat diselesaikan sebelum sesi persekolahan 2022.

Selamat untuk pelajar

Artikel Berkaitan:

Bercakap mengenai vaksin pula, ada juga ibu bapa mula bimbang kesan sampingan sekiranya anak-anak mereka divaksin, namun mengikut data perubatan menunjukkan vaksin jenis Pfizer dan Sinovac selamat untuk digunakan ke atas pelajar sekolah berusia 12 hingga 17 tahun.

Memetik laporan akhbar tempatan pada 13 September lalu, pakar virologi dari Universiti Sains Malaysia, Profesor Madya Dr Yahya Mat Arip berkata, dari segi keberkesanan dan risiko kesan sampingan vaksin-vaksin berkenan adalah sama seperti golongan dewasa.

“Sebelum ini dilaporkan vaksin Pfizer berkemungkinan boleh menyebabkan masalah jantung, myocarditis dan pericarditis, tetapi dengan risiko yang sangat rendah.

“Mengikut data keberangkalian kanak-kanak mendapat myocarditis disebabkan oleh Covid-19 adalah lebih tinggi berbanding disebabkan oleh vaksin Pfizer,” katanya.

Penulis juga akui perasaan ragu- ragu sebahagian besar ibu bapa untuk menghantar anak-anak ke sekolah makin menebal selepas ada sebilangan guru termasuk di Johor, Kedah dan Terengganu yang enggan divaksin. Sikap mereka itu amat dikesali.

Namun langkah yang diambil Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk tidak membenarkan kumpulan guru yang enggan atau masih belum menerima vaksin Covid-19 terlibat dalam sesi pengajaran di dalam kelas serta berinteraksi secara bersemuka dengan pelajar telah melegakan banyak pihak.

Tindakan itu dibuat bagi memastikan sesi persekolahan yang akan dibuka kelak selamat untuk kumpulan pelajar, guru dan pihak pengurusan sekolah.

Penulis berharap barisan guru yang terlibat akan berubah fikiran demi keselamatan warga sekolah kelak seperti mana yang dilakukan oleh seorang guru wanita di Terengganu.

Guru berkenaan yang mahu dikenali sebagai Jamilah, berusia 50-an sebelum ini menolak untuk divaksin kerana terpengaruh dengan pelbagai maklumat salah akhirnya bersetuju menerima suntikan vaksin Covid-19.

Penulis berharap ibu bapa mahupun penjaga juga tidak akan menyekat anak-anak yang layak menerima vaksin untuk berbuat demikian demi masa depan mereka.

Kita berusaha selagi mampu, selebihnya kita berserah kepada ALLAH SWT.

* Siti Shamila Che Zahari ialah Penyunting di Sinar Harian.