Pemberian vaksin dos ketiga wajar: Pakar

DR MOHD DZULKHAIRI
DR MOHD DZULKHAIRI
A
A
A

SHAH ALAM - Pemberian vaksin dos ketiga Covid-19 sebagai dos penggalak akan mempercepatkan negara bebas daripada Covid-19 terutama membabitkan golongan berisiko tinggi.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam Universiti Sains Islam Malaysia, Profesor Madya Dr Mohd Dzulkhairi Mohd Rani berkata, pemberian dos tersebut wajar membabitkan kumpulan sasar iaitu golongan rentan, individu yang mempunyai daya tahan imuniti rendah dan petugas barisan hadapan.

“Di negara lain seperti Singapura dan Thailand sudah pun mula memberikan dos penggalak untuk penduduk mereka,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Pada Ahad, kerajaan bersetuju melaksanakan pemberian dos ketiga vaksin Covid-19 dalam usaha meningkatkan perlindungan kepada golongan rentan daripada risiko jangkitan pandemik tersebut.

Dalam pada itu, Dr Mohd Dzulkhairi berkata, kerajaan perlu memudahkan proses pemberian vaksin itu kepada golongan yang disasarkan dengan melaksanakan strategi baharu.

Menurutnya, agak sukar untuk golongan itu memulakan pendaftaran semula dan menunggu janji temu selain banyak pusat pemberian vaksin sudah ditutup.

“Kerajaan juga perlu memberi fokus kepada negeri yang masih mempunyai peratusan kadar vaksinasi yang rendah sebelum memulakan proses pemberian dos penggalak,” katanya.

Tambahnya, pelbagai strategi termasuk membenarkan secara walk-in, outreach ke kawasan pedalaman dan peningkatan hebahan dapat membantu proses berkenaan.

Artikel Berkaitan:

“Dalam masa sama kerajaan perlu menyanggah dakyah palsu golongan antivaksin kerana pengumuman dos ketiga ini ramai yang mungkin ragu-ragu dan takut,” ujarnya.