Misi penting skuad ragbi tujuh sebelah negara

Shahrul Zaman (dua, kiri) ketika mempengerusikan Mesyuarat Agung KRM pada Ahad.
Shahrul Zaman (dua, kiri) ketika mempengerusikan Mesyuarat Agung KRM pada Ahad.
A
A
A

SKUAD ragbi tujuh sebelah negara mempunyai misi penting untuk melayakkan diri ke Piala Dunia, Sukan Asia di Hangzhou,China dan Sukan Komanwel Birmingham yang dijadualkan berlangsung tahun depan.

Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata, skuad negara mempunyai tempoh kira-kira dua bulan untuk melakukan persiapan sebelum menyertai kejohanan ragbi tujuh sebelah Asia di Dubai pada 19 dan 20 November yang juga medan kelayakan ketiga-tiga temasya sukan tersebut.

“Untuk pasukan tujuh sebelah, kedua-dua pasukan lelaki dan perempuan telah kembali ke kem latihan. Kejohanan terdekat adalah Kejohanan Ragbi Tujuh Sebelah Asia di Dubai pada 19 dan 20 November ini.

“Sepatunya seperti kebiasaannya ada tiga siri, tetapi kerana Covid-19 dan juga pelbagai cabaran rentas negara, maka ia hanya dibuat satu kejohanan di Dubai. Ia juga kejohanan kelayakan ke Piala Dunia, Sukan Asia dan Sukan Komanwel pada tahun depan,” katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Agung KRM pada pada Ahad.

Saingan Sukan Komanwel Birmingham akan dilangsungkan pada 28 Julai sehingga 8 Ogos 2022, Piala Dunia akan berlangsung pada 9 hingga 11 September 2022 dan Sukan Asia diadakan di Hangzhou, China pada 10 hingga 25 September 2022.

Mengulas lanjut, Shahrul Zaman meletakkan sasaran tinggi kepada pasukan tujuh sebelah negara untuk layak ke Sukan Komanwel dan Sukan Asia tahun depan.

“Kita menyasarkan untuk Sukan Komanwel dan Sukan Asia kita boleh melakukannya. Tetapi, untuk Piala Dunia yang terpilih hanyalah satu pasukan sahaja. Jadi, kita rasa mungkin kita tidak boleh nak capai untuk masa sekarang kerana kita perlu berhadapan dengan pasukan-pasukan ternama tujuh sebelah seperti Jepun, Hong Kong dan juga Korea Selatan.

“Tetapi untuk Sukan Komanwel dan Sukan Asia kita memang meletakkan sasaran untuk layak ke sukan-sukan tersebut,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Shahrul Zaman turut memaklumkan mesyuarat agung tersebut telah bersetuju untuk menambah perlembagaan KRM iaitu penggal untuk exco yang dipilih dalam persatuan itu dilanjutkan daripada tiga tahun kepada empat tahun.

"Ia sejajar dengan kejohanan ragbi Piala Dunia. Kali terakhir kita mengadakan pemilihan adalah pada 2019 iaitu tahun Piala Dunia di Jepun, dengan perubahan perlembagaan ini, penggal akan dipanjangkan sehingga tahun 2023 iaitu juga tahun ragbi Piala Dunia di Perancis.

"Tujuan KRM melaksanakan penambahbaikan ini juga adalah bagi memastikan selaras dengan World Rugby dan Asia Rugby yang memanjangkan tempoh perkhidmatan Exco kedua-dua badan induk tersebut.

"Selain itu, usul kedua adalah menambah jumlah exco yang dipilih daripada empat orang kepada enam orang seorang daripadanya adalah wanita. Ini adalah bertujuan untuk membolehkan lebih ramai pengait ragbi dipilih untuk menganggotai persatuan," katanya.