MCE meterai MoU dengan Chongqing Beidou

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

ANAK syarikat milik penuh MCE Holdings Bhd, MCE Ventures Sdn Bhd (MVSB) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Chongqing Beidou Jiean Neo-Energy Technology Ltd (BDJA) dari China untuk mewujudkan usaha sama (JV) bagi perniagaan kenderaan elektrik.

Melalui MoU itu, kedua-dua pihak tersebut akan bertindak sebagai pusat penyelidikan, penyebaran dan inkubator untuk memudahkan dan mempercepatkan penggunaan tempatan dan keupayaan pembangunan produk untuk motosikal elektrik dan hidrogen, katanya kepada bursa saham.

Mereka akan turut mereka bentuk, membangunkan, mengeluarkan dan memasang motosikal elektrik roda dua dan bentuk e-mobiliti yang lain, sistem pek bateri dan penyelesaian lengkap untuk stesen pengecasan motosikal elektrik.

MoU untuk tempoh setahun itu akan membolehkan syarikat melalui MVSB memperluas rangkaian produknya dengan menyertai syarikat JV untuk mereka bentuk, membangunkan, mengeluarkan dan memasang produk.

MCE berkata, MoU itu tidak akan memberi impak yang ketara terhadap modal terbitan dan berbayar, aset bersih dan pendapatan syarikat untuk tahun kewangan berakhir 31 Julai, 2022 dan ia tidak tertakluk kepada kelulusan pemegang saham dan mana-mana pihak berkuasa pengawalseliaan.

Berpusat di Chongqing, China, BDJA adalah sebuah syarikat teknologi yang khusus dalam menawarkan penyelesaian menyeluruh untuk teknologi tenaga baharu dan penggunaannya untuk pelbagai industri.

MVSB merupakan sebuah syarikat pegangan pelaburan dengan syarikat gabungan yang khusus dalam bahagian automotif. - Bernama

Artikel Berkaitan: