SGB harap kerajaan masukkan CanSino dalam program dos penggalak

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Solution Group Bhd (SGB) berharap kerajaan akan mempertimbangkan pemberian vaksin Covid-19 satu dos Convidecia atau lebih dikenali sebagai vaksin CanSino dalam program pemberian dos penggalak.

Anak syarikat milik penuhnya, Solution Biologics Sdn Bhd, merupakan rakan kongsi pembuatan ASEAN bagi vaksin Convidecia oleh CanSino Biologics Inc.

Dalam kenyataan pada Isnin, SGB menjelaskan berdasarkan kajian oleh Pusat Kawalan Penyakit Jiangsu, suntikan dos penggalak Convidecia menunjukkan peningkatan sekurang-kurangnya 78 kali ganda paras antibodi peneutralan purata, berbanding dengan suntikan dos penggalak daripada vaksin tidak aktif yang sama menunjukkan peningkatan 15.2 kali ganda paras antibodi.

Menurut SGB, kajian itu juga mendapati suntikan dos penggalak dengan vaksin itu selepas menerima dua dos vaksin tidak aktif adalah terbukti selamat dan mampu menghasilkan respons imun ke atas virus Covid-19 secara berkesan.

Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan SGB, Datuk Dr Mohd Nazlee Kamal berkata, pihaknya mempunyai infrastruktur menerusi kemudahan pengisian dan pembotolan serta kapasiti tersebut telah bersedia untuk memenuhi permintaan yang meningkat.

“Kami boleh menyediakan dos penggalak bagi Malaysia dan pada masa sama, membekalkan kepada rantau ASEAN,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini mengumumkan kerajaan bersetuju melaksanakan pemberian dos ketiga (dos penggalak) vaksin Covid-19, selepas liputan imunisasi populasi dewasa di seluruh negara melebihi 80 peratus.

Pada Isnin, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, perincian mengenai program dos ketiga akan diumumkan dalam tempoh ‘seminggu dua lagi’. - Bernama

Artikel Berkaitan: