85 peratus kes BID di Sandakan libat individu tanpa vaksinasi

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

SANDAKAN - Kira-kira 85 peratus kes kematian di luar hospital (BID) di Sandakan akibat Covid-19 didapati terdiri daripada individu tanpa vaksinasi bagi melawan pandemik itu, kata Pegawai Kesihatan Daerah, Dr Johari Awang Besar pada Isnin.

Beliau berkata, sejak Julai lepas, jumlah kematian di luar hospital akibat Covid-19 telah meningkat secara eksponen kebanyakannya membabitkan individu berisiko tinggi terutama mereka yang berusia melebihi 50 tahun.

"Pada Julai, Sandakan merekodkan enam kes BID dan angka itu meningkat kepada 55 bulan lepas (Ogos). Setakat 16 September, sudah terdapat 66 kes.

"Saya merayu kepada semua orang agar lebih memberi perhatian kepada golongan warga emas atau ibu bapa atau datuk nenek mereka kerana 90 peratus kes BID membabitkan mereka yang berusia 50 tahun dan ke atas.

"Kira-Kira 46 peratus jumlah kematian membabitkan mereka yang berusia lebih 70 tahun," katanya kepada pemberita ketika ditemui di pusat pemberian vaksin (PPV) di Dewan Hakka di sini.

Dr Johari juga menggesa penduduk Sandakan agar merebut peluang mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 secepat mungkin kerana jumlah kes harian di daerah itu telah mencatatkan tiga angka sejak kebelakangan ini dan meletakkan Sandakan sebagai antara tiga daerah teratas dengan jumlah kes tertinggi di Sabah.

Beliau turut meluahkan kebimbangan terhadap individu yang terlepas janji temu untuk mendapatkan suntikan dos kedua vaksin Pfizer atau Sinovac dan menggesa mereka agar hadir di mana-mana tujuh PPV di daerah itu secara jumpa terus.

"Kira-kira 10,000 orang telah terlepas janji temu untuk mendapatkan dos kedua mereka. Mereka boleh pergi ke mana-mana PPV dengan segera. Jangan tunggu sampai berbulan-bulan untuk berbuat demikian," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas penguatkuasaan berkaitan mewajibkan pengambilan vaksinasi lengkap di semua premis di Sabah mulai Selasa, Dr Johari telah memaklumkan pasukannya agar tidak mengambil tindakan terhadap mereka yang menerima suntikan dos pertama vaksin jenis AstraZeneca pada awal bulan lepas susulan sela masa sembilan minggu yang diperlukan sebelum mendapatkan dos kedua.

"Bukan salah mereka jika mereka tidak dapat melengkapkan kedua-dua dos suntikan menjelang esok.

"Bagaimanapun, kelonggaran ini hanya bagi mereka yang telah menerima suntikan pertama bulan lepas kerana pengumuman bagi vaksinasi lengkap dibuat selepas itu (dos pertama).

"Tetapi jika ada yang baru menerima dos pertama AstraZeneca hari ini, saya berpendapat mereka perlu dihalang memasuki mana-mana premis terbabit seperti makan di restoran," katanya.

Beliau berkata, kira-kira 11,000 penduduk Sandakan menerima dos pertama AstraZeneca dan mereka dijangka melengkapkan vaksinasi masing-masing bulan depan. - Bernama