Tubuh pasukan khas PDRM siasat dakwaan pegawai SPRM curi AS$6 juta

Hussamuddin gesa satu pasukan khas PDRM ditubuhkan untuk siasat secara bebas dakwaan kecurian barang kes wang tunai sebanyak AS$6 juta oleh pegawai SPRM.
Hussamuddin gesa satu pasukan khas PDRM ditubuhkan untuk siasat secara bebas dakwaan kecurian barang kes wang tunai sebanyak AS$6 juta oleh pegawai SPRM.
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Pasukan Rasuah Buster, Datuk Hussamuddin Yaacub menggesa satu pasukan khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) ditubuhkan untuk menyiasat secara bebas mengenai dakwaan kecurian barang kes wang tunai sebanyak AS$6 juta oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Hussamuddin berkata, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki harus bertanggungjawab di atas dakwaan salah guna kuasa membabitkan seorang bekas ketua jabatan SPRM itu dan beliau perlu digantung tugas dalam tempoh siasatan tersebut.

"Harapkan pagar, pagar makan padi. Inilah perumpamaan yang tepat buat kes terbaru melibatkan kecurian barang kes wang tunai AS$6 juta oleh pegawai dalaman SPRM sendiri.

"Ketua Pesuruhjaya SPRM harus dipertanggungjawab dan digantung tugas sepanjang siasatan berjalan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Sebelum ini, tular laporan di sebuah blog tempatan mendakwa tiga pegawai kanan SPRM direman enam hari bermula 14 September lalu bagi membantu siasatan berhubung kecurian wang tunai milik seorang individu yang disiasat kerana menyalahgunakan kuasa dan penyelewengan dana pada 2018.

Wang tunai itu didakwa dirampas oleh SPRM di sebuah kondominium di Cyberjaya.

Individu disiasat terbabit dikatakan sudah dilepas tanpa bebas oleh mahkamah dan mahu menuntut semula wang tunai dirampas namun mendapati ia adalah wang palsu.

Penulis blog itu mendakwa individu itu membuat satu laporan polis.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu ujar Hussamuddin, pihaknya menggesa agar ahli-ahli Parlimen dan kerajaan meluluskan segera enam tuntutan Politik #MalaysiaTanpaRasuah yang diumumkan pada 11 September lalu.

Jelas beliau, wujudnya kes-kes sedemikian menjadikan tuntutan Rasuah Busters dan ahli gabungannya untuk melakukan pembaharuan struktur di mana SPRM dan Peguam Negara perlu segera dibebaskan dari kuasa politik serta diletakan di bawah Parlimen.