Kelantan sedia beri rakyat dos ketiga vaksin Covid-19

Dr Izani (kanan) ketika meninjau kerja-kerja menaik taraf Pantai Irama, Bachok pada Isnin.
Dr Izani (kanan) ketika meninjau kerja-kerja menaik taraf Pantai Irama, Bachok pada Isnin.
A
A
A

BACHOK - Kerajaan negeri Kelantan sedia untuk melaksanakan pemberian dos ketiga vaksin Covid-19 kepada rakyat di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin berkata, perkara itu sejajar dengan keputusan kerajaan Persekutuan yang bersetuju memberikan suntikan dos penggalak berkenaan dengan keutamaan kepada golongan rentan.

Beliau berkata, pihaknya kini menunggu arahan daripada kerajaan Persekutuan atau Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kepada negeri-negeri atau Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) untuk menjalankan proses vaksinasi tersebut.

“Kami mengikut pandangan sains dan saranan daripada pakar perubatan sekiranya vaksin penggalak itu dapat meningkatkan imuniti, maka itu adalah perkara yang sebaiknya.

“Kelantan bersedia dan tidak ada sebab untuk kita tidak menerima vaksin ketiga,” katanya kepada pemberita di Pantai Irama di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian selepas meninjau ke tapak projek menaik taraf Pantai Irama dan kerja-kerja pembangunan taman awam di Pasir Puteh.

Dr Izani berkata, setakat ini pihaknya belum mendapat maklumat jelas berhubung pemberian dos ketiga vaksin Covid-19 tersebut sama ada diwajibkan atau pilihan.

Sementara itu, beliau berkata, lebih 4,000 pelajar Tingkatan Empat dan Lima iaitu remaja yang berusia 16 dan 17 tahun menerima dos pertama vaksin Covid-19 bermula Ahad.

Artikel Berkaitan:

“Senarai nama pelajar diperoleh daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di seluruh Kelantan. Pemberian suntikan diberikan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) mengikut daerah.

“Setakat Ahad juga, sejumlah 935,000 rakyat negeri ini sudah menerima dos pertama, manakala dos kedua pada dua minggu lagi, sekali gus membolehkan Kelantan mencapai imuniti kelompok pada akhir September,” ujarnya.

Tambah beliau, dianggarkan sebanyak 10 peratus rakyat Kelantan tinggal di luar negeri ini ketika ini, manakala 100,000 lagi belum menerima vaksin Covid-19; antaranya pesakit terlantar dan tiada aplikasi MySejahtera selain segelintir golongan antivaksin.