X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 08 Disember 2021

JKMR, LPPR gesa siasat dakwaan penyelewengan pegawai SPRM

Kenyataan JKMR, LPPR pada Isnin.
A
A

SHAH ALAM - Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) dan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) menggesa siasatan segera secara terperinci mengenai dakwaan pembabitan pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dalam aktiviti penyelewengan.

Pegawai tersebut didakwa terlibat dalam aktiviti salah guna kuasa dan penyelewengan membabitkan wang tunai berjumlah lebih RM25 juta.

Pengerusi JKMR, Tan Sri Dr Rais Yatim dan Pengerusi LPPR, Tan Sri Abu Zahar Ujang dalam satu kenyataan bersama memaklumkan, pihak mereka menyuarakan kebimbangan mengenai dakwaan tersebut.

Sehubungan itu, mereka berkata, ia perlu diselesaikan secepat mungkin bagi meraih keyakinan rakyat terhadap integriti SPRM.

“Justeru, JKMR dan LPPR mendesak siasatan terperinci dibuat segera dan sesiapa sahaja yang mempunyai kaitan dengan dakwaan tersebut perlu dihadapkan ke muka pengadilan secepat mungkin agar keyakinan rakyat kepada SPRM kekal utuh,” kata kenyataan itu pada Isnin.

Menurut kenyataan itu, JKMR dan LPPR sepakat menjalinkan kerjasama erat bagi menggerakkan usaha, pendekatan serta memberikan paradigma baharu dalam memerangi rasuah menerusi pertemuan sulung yang berlangsung pada Isnin di Pejabat Yang di-Pertua Dewan Negara.

“Susulan pertemuan itu, JKMR dan LPPR bersetuju memperhalusi cadangan untuk meletakkan hal ehwal antirasuah di bawah Parlimen melalui Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Negara dan Dewan Rakyat yang ketika ini perincian teknikal sedang dilaksanakan oleh penasihat undang-undang serta panel jawatankuasa Parlimen.

“Pada masa sama, JKMR dan LPPR memandang serius isu penarikan balik kes-kes rasuah melibatkan individu tertentu sebelum perbicaraan bermula, juga semasa perbicaraan sedang berlangsung kerana ia menjejaskan imej, kredibiliti serta integriti SPRM dan mahu penjelasan tegas diberikan pihak bertanggungjawab,” ujar mereka.

Tambah mereka, pertemuan tersebut turut menzahirkan perhatian serius berhubung beberapa situasi terutama melibatkan kes-kes rasuah yang mengambil masa terlalu lama.

“Ada yang melebihi tempoh setahun untuk diputuskan Mahkamah Rayuan dan hal ini merupakan antara tugasan yang bakal diberi perhatian oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen agar kepercayaan orang ramai tidak luntur,” tambah mereka.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!