TNB sumbang dua van jenazah bernilai RM70,000

Mahdzir (tengah) secara simbolik memotong riben sambil disaksikan Khairul Anuar (kiri) dan Che Sa (kanan) bagi menerima sumbangan van jenazah daripada TNB di Sungai Petani pada Ahad.
Mahdzir (tengah) secara simbolik memotong riben sambil disaksikan Khairul Anuar (kiri) dan Che Sa (kanan) bagi menerima sumbangan van jenazah daripada TNB di Sungai Petani pada Ahad.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyumbang dua buah van jenazah untuk kegunaan masyarakat setempat yang memerlukan bantuan pengurusan jenazah.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, van jenazah berkenaan adalah di bawah program khas baik pulih van TNB yang hendak dilupuskan dengan kos pembaikan sebanyak RM35,000.

Beliau berkata, kedua-dua kenderaan itu diserahkan kepada Persatuan Veteran Komando Markas 6 Bridged, Kem Sungai Layar dan Masjid Sultan Abdul Halim.

“Dua kenderaan terbabit adalah van milik TNB yang tamat tempoh perkhidmatan, selepas dibaik pulih dan diperbaiki dengan kos keseluruhan sebanyak RM70,000.

"Terima kasih kepada TNB yang sudi menyumbang van jenazah ini untuk kegunaan anak kariah sekitar daerah Kuala Muda ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mahdzir juga berharap sumbangan berkenaan akan menjadi asbab kebaikan kepada TNB untuk terus maju dan membolehkan lebih banyak program kebajikan dapat dilaksanakan pada masa akan datang.

Sumbangan van berkenaan diserahkan kepada Panglima 6 Bridged diwakili oleh Brigadier Jeneral Khairul Anuar Abdul Aziz, manakala Masjid Sultan Abdul Halim diwakili Ketua Imamnya, Che Sa Ahmad di Kem Sungai Layar pada Ahad.

Hadir sama ialah Ketua Pegawai Solusi Bisnes Global TNB, Mohamad Ariff Zainol.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Mohamad Ariff berkata, TNB menyumbang sebanyak 60 van jenazah bernilai lebih RM2.7 juta kepada masyarakat sejak tahun 2016.

"Secara purata, kami menerima lebih 80 permohonan setiap tahun daripada pelbagai pihak bagi mendapatkan sumbangan van jenazah.

"Sebelum ini, TNB menyumbang van baharu, namun kosnya agak tinggi dan kami memutuskan untuk menyumbang van yang hendak dilupuskan dengan membaik pulih kenderaan itu seperti membaiki enjin, menukar tayar dan mengecat semula dengan kos RM35,000 seunit," jelas beliau.