Masuk dalam tong ikan redah banjir

Dua kanak-kanak terpaksa ditolak menggunakan tong ikan oleh bapa mereka sejauh 50 meter pada Isnin.
Dua kanak-kanak terpaksa ditolak menggunakan tong ikan oleh bapa mereka sejauh 50 meter pada Isnin.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Dua kanak-kanak terpaksa ditolak menggunakan tong ikan oleh bapa mereka sejauh 50 meter selepas pekarangan rumah nenek di Kampung Rantau Panjang, Bestari Jaya di sini dilanda banjir pada Isnin.

RUBIAH
RUBIAH

Rubiah Fakir Khan, 60, berkata, cucunya, Nur Salsabila Mohd Saffiq, 7, dan Muhammad Shaqiri Khan Mohd Saffiq, 4, duduk dalam tong ikan tidak berpenutup dan meredah banjir kira-kira jam 3 petang.

Menurut Rubiah, cucunya diletakkan di dalam tong itu berikutan paras air yang tinggi selain keadaan jalan yang tidak selamat.

"Paras air pada waktu itu tinggi dan saya sendiri berasa lelah mengharung banjir," katanya ketika ditemui Sinar Harian di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Rantau Panjang di sini pada Isnin.

Rubiah berkata, dia berpindah ke PPS itu tiga jam lebih awal berikutan paras air di pekarangan rumahnya mencecah 1.5 meter.

"Saya nekad mengharungi air kerana bimbang keselamatan diri dan beberapa dokumen penting terpaksa ditinggalkan di dalam rumah.

"Risau juga apabila dokumen penting tidak sempat dibawa ke PPS, tetapi lebih penting kami sekeluarga selamat," katanya yang menetap bersama empat anak dan dua cucu.

Artikel Berkaitan:

Seorang lagi mangsa banjir, Aminah Pakir Khan, 71, berkata, pekarangan rumahnya mula dinaiki air pada Sabtu dan keadaan bertambah teruk pada pagi Isnin apabila air mula melimpah ke beranda rumah.

"Ini merupakan banjir kali kedua di kawasan kampung tahun ini.

"Saya berharap pihak berwajib lebih peka dan mengambil serius isu banjir yang kerap melanda kampung ini," katanya.